Thursday 1 March 2012

Harga Sebuah Pengorbanan

Pengorbanan perlu ada strategi tersendiri agar
 tidak terkorban di kemudian hari

Pepatah Melayu Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgNQ1dtgR5sAaz6zqUTQsMkQXGi_TkmtwAv8VI4fR0wEcVzhn314Qp4u9CIULgUfCanfaa6Mw8TE79RG6XkQKKntgdH9aO0Xb8cuOroWT3CrxgLLLyIz-d2oQSUdl2V0PQqbGd7qazlshQ/s200/pengorbanan.jpgada mengatakan “Bila adanya cinta, di sana adanya pengorbanan”, “Tanpa pengorbanan mimpi tak bermakna”, “Setiap cita-cita mesti disusuli pengorbanan”. Inilah di antara kata-kata yang sering kita dengar yang menggambarkan betapa tinggi dan perlunya sebuah pengorbanan dalam setiap ruang hidup manusia, ada juga yang mengatakan  barangsiapa yang tidak berkorban pasti terkorban. Ini bererti setiap orang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Oleh kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan maka seharusnya kita menjadi sebaik-baik pemberi kepada agama,keluarga, masyarakat dan kerjaya.

Jika dilihat dari sudut bahasa arab korban adalah dari kalimah qaraba yang membawa maksud dekat, jadi apa kaitannya di antara pengorbanan dengan dekat? Apa yang dapat difahami di sini ialah pengorbanan adalah satu proses mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain.

                                                                Pengorbanan = Mendekatkan

Sebagai contoh seorang ibu yang berkorban untuk anak-anak maka hasilnya pengorbanan si ibu tadi akan mendekatkan atau merapatkan hubungannya dengan anak-anak, dalam masa yang sama beroleh berkat dari Tuhan.Seorang suami yang mengorbankan sedikit masa atau wang ringgit demi isteri dan  keluarga untuk makan bersama akan merasai nikmat semakin dekat dengan keluarga tercintanya. Seorang lelaki yang mengorbankan masa tidurnya untuk bangun di sepertiga malam kerana Allah akan terasa semakin dekat dengan rahmat dan rahim Allah Yang Maha Agung. Seorang anak yang mengorbankan masa kerjanya hanya semata-mata untk balik ke kampung menjenguk ibu yang keseorangan pastinya semakin dekat hati anak dan hati si ibu.

Alangkah indahnya dunia ini jika setiap dari kita menyuburkan rasa ingin berkorban demi mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Ayuh kita renung bersama sirah pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu bernama Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, adalah di antara lambang kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan ibu. Semakin berkorban semakin sayang kerana nilai sebuah kasih sayang bermula dari memberi.



Benarlah kata mentor saya En. Khaeril Anuar yang berkata, “Di antara lambang pengorbanan seseorang pada keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya”. Walaubagaimanapun setiap pengorbanan perlu ada strategi tersendiri agar tidak terkorban di kemudian hari maksudnya setiap dari kita mempunyai komitmen atau tanggungjawab tersendiri,maka perlu bijak dalam mengimbangkan semuanya.

Saya masih ingat seorang peserta saya pernah berkongsi pandangannya mengenai erti pengorbanan. Dia menceritakan bahawa dia adalah seorang ibu yang sangat baik dan penyayang terhadap anak-anak, setiap keluhan dan kesedihan anak-anaknya sentiasa diberi perhatian seboleh-bolehnya dia mahukan senyuman sentiasa terukir di bibir mereka. Namun dalam keghairahan dia berkorban demi anak-anak dia terlupa bahawa dalam masa yang sama dia juga seorang isteri pada suaminya, dan lebih menyedihkan suaminya baru sahaja meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat memohon maaf atas kealpaanya sebagai isteri selama suaminya masih hidup.

Dalam kursus yang sama juga seorang peserta lain juga dengan hati yang terbuka berkongsi kisahnya, dia seorang pekerja contoh dan seringkali mendapat jolokan ‘pekerja harapan malaya’ kerana setiap tugasan yang diberikan pasti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, hubungan dengan pekerja lain sangat baik sehinggakan ada yang berkata jika tak datang pejabat satu hari macam ‘mendung’ suasana pejabat. Dia cukup berkorban demi kerjayanya, namun satu yang menyedihkan ialah dia gagal menjadi anak yang baik terhadap ibu dan ayahnya, dalam setahun boleh dikira berapa kali pulang ke kampung, atau jarang sekali menelefon hanya sekadar bertanya khabar.

Kadang-kadang ada manusia sanggup berkorban masa, tenaga dan seluruh hidupnya semata-mata untuk menyelamatkan ikan paus, panda, beruang yang hampir pupus, namun ibu di kampung dihantar ke rumah orang tua-tua dan pupus kasih dari seorang anak. Inikah makna pengorbanan? Cuba berkorban di sana di sini pula terkorban.

Jadi, uruslah minda, hati dan perasaan kita terlebih dahulu sebelum mengurus insan lain lebih-lebih lagi insan tersayang. Cuba renungkan pesanan pramugrami tiap kali sebelum memulakan penerbangan antaranya,’Jika kandungan oksigen berkurangan dalam kapal terbang, dan corong untuk bernafas keluar dari bahagian atas, hendaklah kita melekapkan corong itu ke mulut kita terlebih dahulu dan bernafaslah  sebelum membantu anak kecil di sebelah melekapkan corong ke mulutnya.’

Mesej paling penting di sini ialah persediaan sebelum berkorban, iaitu melengkapkan diri dengan iman dan kepercayaan yang teguh agar mampu memberikan ‘nafas’ pada diri di saat-saat getir menempuh ujian.Bentuklah matlamat yang tepat lagi jelas dalam menentukan arah hidup sebenar agar setiap pengorbanan diganjari dengan redha Tuhan kelak. Bayangkan jika perjalanan hidup sudah jelas namun tidak tepat (menuju Tuhan) ibarat seperti naik bangunan tinggi tetapi hakikatnya salah bangunan! Penat bukan? Satu pengorbanan yang sia-sia.

Firman Allah S.W.T :

"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)." Surah al-Hujurat ayat 15.


Mulakan dengan niat yang ikhlas, seperti kata Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah “Orang ikhlas pasti dibalas”.
Dengan niat akan menjadikan seseorang itu tahu apa yang dia mahu dan mahu apa yang dia tahu. Bersyukur dan berterima kasihlah pada Allah tiap kali mencapai kejayaan, dan bersabarlah bila ujian menyapa kerana itulah harga yang perlu dibayar bagi sebuah erti ketenangan (dalaman) di sebalik kesenangan (luaran).


Pesan guru saya dulu, rajin-rajinkanlah bergaul dan bersahabat dengan orang-orang bijaksana kerana di situ kita akan mengenal siapa sebenarnya kita. Mampu membina rasa sabar dalam diri apabila mencontohi sifat dan sikap mereka dengan kaedah yang di sebut oleh ahli-ahli Neuro Linguistic Programming (NLP) sebagai ‘modelling’(mencontohi). Ia adalah proses mencontohi seseorang individu atau tokoh yang kita kagum dengan ‘menyalin’ semula semua perilaku dirinya dan disematkan pada diri. Sebagai contoh kita kagum dengan majikan kita sendiri dari sifatnya yang prihatin terhadap kebajikan pekerjanya, tak dilupakan keluarganya sangat senang dengan sikapnya, jadi kita cuba ‘model’ kan sifatnya menjadi sebahagian dari diri kita.

Konsistenlah dalam berdoa, kerana doa adalah satu proses (affirmation) atau .....diri. Bermula dari doa ia akan menguatkan hati dan ‘menyedarkan’ rohani akan kelemahan kita sebagai hamba Tuhan, ini kerana dengan rasa lemah mengingatkan kita pada jiwa hamba, manakala dengan rasa kuat meyakinkan diri untuk berkorban dan berkhidmat pada makhluk lain.

Kelemahan – Membawa rasa kesedaran kepada Tuhan
Kekuatan   -  Memberi manfaat pada makhluk

Kerana itulah saya katakan pengorbanan perlukan strategi dan keseimbangan dalam menguruskannya. Bagaimana dengan hidup anda? Bila kali terakhir anda berkorban?

Refleksi :
1.       Setiap cita-cita mesti disusuli dengan pengorbanan dan komitmen yang tinggi.
2.       Seseorang itu dimuliakan bukanlah kerana apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat dan kebahagiaan sejati pada orang lain.
3.     Pengorbanan adalah satu usaha bagi mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain, dan hasilnya, kebahagiaan dan ketenangan yang tak mampu dilihat hanya dapat dirasa.
4.     Di antara lambang pengorbanan seseorang pada keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.
5.     Uruslah minda, hati dan perasaan kita terlebih dahulu sebelum mengurus insan lain, kerana untuk dikasihi perlu mengasihi.
6.     Jika perjalanan hidup sudah jelas namun tidak tepat (menuju Tuhan) ibarat seperti naik bangunan tinggi tetapi hakikatnya salah bangunan!

No comments:

Post a Comment