Wednesday 26 October 2011

Indahnya Hidup Dengan Bersangka Baik


Hidup ini akan menjadi sangat indah sekiranya kita melatih diri membentuk jiwa untuk bersangka baik dengan keadaan di sekeliling kita.Kata ahli psikologi ‘apa yang anda lihat tidak penting, tetapi bagaimana cara anda melihat sesuatu itu lebih penting’,ahli sufi mengatakan ia sebagai pandangan mata hati. Keadaan dunia ini berdasarkan cara kita melihatnya kerana dari melihat akan membentuk kelakuan, tabiat dan akhirnya masa depan.

 Sebagai contoh seseorang yang memandang dunia ini satu tempat yang sangat bosan, di sana sini ada musuh, nak dapat kerja pun susah, ada keluarga pun tak memahami,ada kawan pun tikam dari belakang, mungkin ini antara andaian-andaian yang ‘dicipta’ sendiri oleh orang yang memandang bosan dunia ini. Maka apa yang akan berlaku pada manusia seperti ini? Pastinya dia akan berkelakuan pasif, seperti sering menyalahkan orang lain, selalu buruk sangka terhadap rakan sendiri atau ahli keluarga, dan mungkin lebih teruk lagi menyalahkan takdir! Nauzubillah. Seringkali kita diingatkan agar mengelakkan diri dari melazimi 3 perkara ini iaitu merungut, menyesal dan menyalahkan.

Oleh itu apa yang harus kita lakukan? Ayuh kita betulkan fokus kita terlebih dahulu atau cara kita memandang setiap apa yang berlaku pada kita, ahli NLP sering berkata ‘We can’t direct the wind, but we can adjust our sail’ iaitu kita tidak mampu mengubah arah angin, namun kita mampu mengalih arahkan layar kita, jadi layar yang dimaksudkan di sini ialah diri kita sendiri! Cuba lihat bagaimana sesetengah manusia berjaya dalam hidup mereka hanya kerana mereka membetulkan fokus atau cara pandang mereka terlebih dahulu, sebagai contoh seorang peniaga memfokuskan pada keuntungan berganda tanpa terlintas langsung istilah rugi atau gagal, ini kerana baginya dalam perniagaan keuntungan adalah satu anugerah namun jika tidak untung baginya ia adalah satu ibrah (pengajaran).

Benarlah kata guru saya En. Megat Yusof,‘There is no failure only feedback’ tidak ada kegagalan melainkan pengajaran. Namun berapa ramai di kalangan kita yang mampu membetulkan fokus kita terhadap kegagalan sebagai satu pengajaran? Sebagai seorang pelajar yang fokus pada kejayaan, sentiasa memperbaiki skill atau cara dia belajar dan jauh sekali dari menyalahkan pihak lain seperti guru yang tak pandai mengajar, kelas yang panas, kawan-kawan yang tidak memahami dan mungkin tiada tempat belajar selesa di rumah. Ini semua alasan-alasan yang sering kali diberikan oleh pelajar yang tidak fokus pada kejayaan. Akhirnya dia akan menjadi pelajar yang pasif dan menanti hari untuk gagal.

Inilah di antara punca sesetengah manusia yang bertindak di luar batas kemanusiaan kerana cara dia memandang dunia dengan cara negatif, ada yang mengatakan hidup ini sangat bosan sedangkan dunia tak pernah bosan yang membosankan dunia adalah diri sendiri!! Saya pernah terbaca kata-kata nasihat dari Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani yang meneybut tentang erti bersangka baik. Kata beliau :

1-Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

2-Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".

3-Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

4-Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

5-Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk. 

Lihatlah betapa indahnya hidup jika kita melazimi diri dengan fokus pada kebaikan, belajar berterima kasih pada musuh atau insan yang tidak sehaluan dengan kita atau seringkali bercakap buruk tentang kita, sekurang-kurangnya dia masih ada masa untuk memikirkan tentang kelemahan yang kita tak sedar, siang malam dia memikirkan tentang kita, jarang sekali sahabat karib nak memberitahu kelemahan diri kita, dengan itu permusuhan akan berlaku jika masing-masing berniat menjatuhkan satu sama lain dari memperbaiki satu sama lain.

Mungkin sudah bertahun-tahun kita berdoa agar menjadi kaya namun masih lagi tak dapat apa yang diimpi, dengan bersangka baik dengan Allah ini juga mungkin salah satu tanda kasih sayangnya Allah pada kita kerana Dia maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hambanya, mungkin jika diberikan kekayaan dalam masa ini kita akan jadi seperti Tsa’labah yang haloba dengan harta dan lupa untuk beribadat pada Allah, atau mungkin dengan kekayaan menyebabkan nikmat bahagia yang kita rasai selama ini akan musnah. Inilah dia hidup penuh hikmah, jika Allah tidak memberi sesuatu yang diminta bukanlah bererti Dia tidak mengasihi kita tetapi inilah tanda kasih Dia pada hambaNya. Sebagai contoh seorang anak yang demam meminta pada ibunya aiskrim, kerana sayangnya ibu pada anak ibunya tidak membelikan aiskrim untuk anaknya kerana risau makin teruk demam anaknya, maka begitulah kasihnya Allah pada kita. Kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu pada anaknya..!

Monday 24 October 2011

Dunia yang Menekan atau Anda Tertekan?

Stres atau tekanan perasaan adalah keadaan emosi yang sangat menghantui kebanyakkan orang pada masa kini. Cuba anda ingat-ingat semula  berapa ramai orang yang anda jumpa dan mereka mengatakan bahwa mereka sedang mengalami stress amat sangat atau mungkin anda sendiri yang sedang mengalaminya?

Stress bukan suatu penyakit, tetapi jika anda tidak dapat mengawal dan mengendalikannya secara positif  anda bakal mendapat banyak  masalah kesihatan.

Saya pernah terbaca dalam beberapa artikel di internet, majalah dan buku-buku tentang kesihatan menyatakan bahawa : -
1-      Lebih dari 40 juta orang di Eropah atau 1 dari 3 orang pekerja mengatakan bahwa mereka mengalami stress di tempat kerja.
2-     Stress di tempat kerja adalah masalah kedua yang sering terjadi disamping masalah sakit punggung.
3-     Hasil pemerhatian pakar-pakar psikologi berpendapat bahwa lebih dari 1/4 pekerja tidak hadir  selama 2 minggu dalam setahun kerana  masalah kesihatan yang diakibatkan oleh stress melampau.

Mungkin di antara faktor yang membawa kepada situasi stress yang melampau ini adalah kerana:-

1-      Keadaan kerja atau sistem yang terlalu menekan
2-     Anda hanya tidur tapi tak rehat
3-     Banyak memendam perasaan
4-     Rakan-rakan yang negatif
5-     Sesetengah pakar pemakanan mengatakan faktor pengambilan daging merah

Hal-hal ini dapat menimbulkan gangguan kesehatan fizikal dan mental seperti : tekanan perasaan, gelisah, gugup, tidak dapat fokus untuk waktu yang lama dan keletihan yang berpanjangan.

Oleh itu bertindaklah mengawal kehidupan anda dan jangan biarkan anda dipengaruhi kehidupan anda sendiri! 9 tips mengawal tekanan perasaan :
1. Rancang dengan baik segala aktiviti harian anda : apa, mengapa, bagaimana, bila dan siapa yang bertanggung jawab terhadap tugas-tugas tersebut. Sangat penting untuk membuat perancangan  bukan hanya jangka panjang tapi juga jangka masa pendek ( bulanan dan harian).
2. Mewujudkan iklim kerja yang menyenangkan dengan bersikap terbuka dan berkomunikasi dengan baik sesama rakan kerja dan majikan.
3. Cuba lakukan sedikit senaman reingan atau regangan kerana apabila anda terlalu lama mengadap komputer membuatkan anda rasa lenguh-lenguh di bahagian leher.
4. Bersikap toleransi dengan  rakan sekerja dan  ingatlah bahawa masing-masing memiliki pribadi yang unik.
5. Delegasikan(pembahagian tugas) sebahagian tanggung jawab anda kepada anak buah anda.
6. Pertahankan semangat pasukan anda seperti menghargai tiap kali mereka melaksanakan tugas dengan baik,jika ada kesilapan beritahu secara sembunyi seperti kata guru saya En.Megat –Appreciate in public repremand in private.

Tuesday 18 October 2011

Sentiasa Rasa Cukup

Salah satu sifat semulajadi manusia adalah tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada, kerana itulah Rasulullah s.a.w mengajar kita agar bersederhana dalam mencari dunia.Semakin rendah tahap spiritual kita, semakin rasa tidak cukup dengan apa yang kita miliki walaupun melimpah ruah.

Rasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang dimiliki kadangkala menyebabkan seseorang manusia itu bertindak terburu-buru tanpa pertimbangan akal dan iman. Seorang ahli falsafah memberi satu contoh dengan nada berjenaka tentang seorang pekerja. Sewaktu si pekerja baru diterima bekerja pertanyaanya sehari-hari adalah “Hari ni kita makan apa ya?”

Selepas diangkat menjadi pekerja tetapdan diberi kepercayaan mengurus beberapa projek pertanyaanya berkembang kepada, “Hari ni kita makan di mana ya?”
Semasa menjawat jawatan tertinggi pertanyaanya berubah kepada, “Hari ni kita makan dengan siapa ya?”
Walaubagaimanapun melakukan pelaburan bagi masa depan tidak salah, tetapi bagaimana kekayaan itu diperoleh perlu menjadi fokus utama.

 Jika kita memperoleh kekayaan itu dengan muslihat dan tipu daya harta itu akan habis begitu juga, namun selepas memiliki harta lebih baik kita berkongsi dengan memberi kesempatan kepada orang lain bergembira dengan apa yang kita miliki.

4 Langkah ini mungkin membantu memberikan kekuatan ‘ikhlas’ yang sebenar pada kita :-
1-     1-  Niat untuk meraih redha Allah
2-    2-   Fokus pada keberkatan atau kebaikan disebalik tiap rezeki yang diperoleh
3-      3-  Meletakkan dunia di tangan akhirat di hati
4-    4-   Sentiasa bersama denga para alim ulama dan para guru.

Oleh itu selalulah perbaharui diri kerana ia adalah kunci kejayaan. Mereka yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang sentiasa memperbaharui diri dari segenap aspek hidup mereka seperti jasmani, rohani, fikiran, ilmu pengetahuan, emosi, sosial, intelektual dan lain-lain lagi.

Monday 17 October 2011

Rahsia Sebenar Insan Berjaya

Sabar - ‘sabar’ jika hendak cakap sangat mudah, namun untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar mungkin susah bagi sesetengah individu.Tetapi inilah hakikatnya kekuatan sebenar orang-orang  yang berjaya dalam kehidupannya. Walaubagaimanapun sabar terbahagi pada 2 jenis :
                 I.   Sabar Pasif
Ramai manusia faham sabar seperti menerima sahaja apa yang dilakukan orang lain terhadapnya. Walaupun ia dipijak,  ditendang,  ditikam  belakang, dihina tapi ia hanya termenung diam dan hanya mengucapkan kata sabar tanpa berbuat apa-apa tindakan. Terlalu bersikap pasif terhadap diri, menyebabkan segala cabaran dan risiko yang dihadapi dianggap sebagai ‘nasib badan’dan terima saja tanpa belajar sesuatu daripadanya.
            II.      Sabar Bijak
       Walaubagaimanapun ada orang yang sabar bijak. Walaupun ia di jatuhkan atau dihina tetapi ia menerima dan belajar dari apa yang berlaku. Fikirkan, apa yang aku pelajari dari kepayahan bekerja di sini, apa yang aku pelajari dari berkawan dengan sahabat yang pemalas dan seringkali menyalahkan kita. Jadi apa perlu dilakukan  atau alternatif lain untuk ubah diri sendiri menjadi sepertimana yang orang lain inginkan.

Jika anda igin menjadi pohon yang tinggi haruslah bersedia untuk menghadapi angin yang kuat, jika tidak ingin menjadi pohon yang tinggi, jadilah rumput  yang dipijak orang. Jika anda berani menjadi pohon yang tinggi, haruslah bersedia menerima apa jua cabaran yang bakal datang, oleh itu sabar bijak perlulah dipasakkan dalam diri anda.
Bina kekuatan dari dalam dengan menjana Keyakinan dan Keghairahan dalam mencapai matlamat. Keyakinan membangkitkan kekuatan, keghairahan, ketrampilan dan tenaga yang diperlukan untuk berjaya. Apabila anda yakin untuk mampu melakukan sesuatu dan benar-benar mempercayainya  maka cara anda melakukannya terhasil secara automatik.
Apabila anda yakin bahawa takkan mungkin dapat mendaki gunung yang tinggi, pasti anda tidak akan menemui anak tangga yang menuju ke tempat yang tinggi itu. Oleh itu pilih untuk membina Kepercayaan dan Keghairahan  dalam usaha anda ini kerana 5 kelebihan bakal anda perolehi dari dua kekuatan ini.
1-      Passion atau keghairahan mengubah masalah menjadi cabaran. Apabila anda berhadapan dengan masalah dan cabaran, bagi anda ia seakan-akan game bagi kanak-kanak yang perlu diselesaikan dalam keadaan emosi yang bersungguh-sungguh.
2-      Keyakinan dan keghairahan memberikan inspirasi dan motivasi kepada orang lain agar memaksimumkan usaha.
3-      Keghairahan juga membebaskan fikiran dari kerungsingan, ketegangan, dan keresahan yang akhirnya membentuk minda yang kreatif.
4-      Kekuatan keyakinan mendekatkan anda pada matlamat membangkitkan kreativiti dan kualiti sebenar seseorang dan mampu melihat peluang pada setiap yang berlaku.

Menurut Dr. Ibrahim Hamd al-Qu’ayyad berkata, “Sepuluh kebiasaan manusia yang berjaya tanpa batasan, antaranya :-

1-      Berusaha mencapai keunggulan
2-      Menetapkan matlamat dengan jelas (clearity)
3-      Menyusun keutamaan (First thing First)
4-      Merancang – Plan Tindakan dan Strategi
5-      Kosentrasi – Daya tumpuan dan Fokus 110%
6-      Mengatur Waktu – Time Management Excellent
7-      Berjuang Melawan Diri sendiri – Compete With Self
8-      Bagus Dalam Berkomunikasi
9-      Fikiran Positif – Look at the bright side
10-   Seimbang – Balance your life

Sunday 9 October 2011

Program Leadership & Sales Marketing



MERANCANG KEJAYAAN Siri 2


Setiap perancangan untuk berjaya mesti bermula dengan mencari sebab untuk meraih kejayaan tersebut dan jelas akibat atau kesan yang bakal diperolehi. Seperti kata Steven R. Covey - Begin With The End Of mind (Mulakan dengan niat dan harapan terbesar dalam minda). 


Mencari sebab untuk berjaya akan mudah memberi rangsangan jangka masa panjang pada kita, sebagai contoh seorang peniaga nasi lemak mensasarkan pendapatan bulanan Rm 5000 disebabkan oleh :-
1-     Keluar dari zon selesa dan mula mencabar kekuatan diri
2-     Menikmati hidup yang lebih selesa dan bahagia
3-     Simpanan di hari tua di saat tak mampu bekerja lagi

Maka kesan atau akibat yang akan diperolehinya insya Allah seperti yang diharapkan. Sekiranya seorang pemuda yang sedang kecewa mungkin cintanya tak terbalas atau diperlekeh kawan-kawan maka dia memilih untuk bersendirian di rumah dan menghisap rokok yang kononnya dapat menghilangkan tekanan, lama-kelamaan dia mengambil pil khayal untuk rasa lebih tenang, jadi apa kesan dari keptusannya ini ?

1-     Walaupun usia muda tapi banyak penyakit akibat merokok
2-     Dilanda kemurungan, berat badan meningkat, system daya tahan badan lemah
3-     Rosak minda, sering mabuk menyebabkan tiada siapa mahu berkawan dengannya.

Kerana itulah mencari sebab dan menggambarkan akibat akan membantu kita lebih ‘ghairah’ untuk mengecap kejayaan, jadi pastikan setiap perancangan, keputusan dan tindakan yang bakal kita ambil diiringi 2 perkara ini.

Ramai di kalangan orang-orang berjaya mengukuhkan dalam diri masing-masing apa sebab aku mahukannya, dan apa yang bakal aku dapat(kesan) membuatkan mereka tidak hirau pada kutukan, mungkin ejekan malah sindiran orang di sekeliling yang bersikap negatif terhadap mereka,Pada mereka itu hanyalah ‘suara-suara sumbang’ yang perlu di ‘ignore’ kan saja atau di abaikan kerana ia akan merosakkan sebuah Lagu Kejayaan.

Manusia biasa melihat peluang, manusia sederhana menggunakan peluang, manusia cemerlang dan sukses mencipta peluang kerana padanya peluang itu wajib dicipta oleh kita sendiri, orang lain tak mampu menentukan masa depan dan kejayaan kita, mereka hanya mempengaruhi kita sahaja. Maka kitalah yang menentukan kegemilangan masa depan kita!!

Kata orang bijak pandai, Orang yang gagal tak pernah rasa nikmat kejayaan, tetapi Orang yang berjaya berkali-kali merasai nikmatnya kegagalan. Oleh itu, apabila minda sudah terbuka, jiwa telah diperkasa dan jasad sudah bersedia, maka ingatlah ada saja ujian dan kepayahan yang perit bakal kita lalui, inilah dia jalan mujahadah. Namun jika kita menganggap bahawa kita adalah pelajar sepanjang hayat dan dunia ini sebagai sekolahnya, kita akan tenang dan tidak mudah mengalah terhadap segala cabaran yang menanti menduga potensi yang sedia ada pada kita. 

MERANCANG KEJAYAAN Siri 1

Setiap dari  kita memiliki impian untuk berjaya dalam apa jua yang kita lakukan. Sama ada kita sebagai bos di tempat kerja, atau pekerja biasa, atau ibu bapa kepada anak-anak, atau ahli perniagaan kita semua mempunyai matlamat yang tinggi untuk dicapai. Walaubagaimanapun, impian hanyalah 1% dari sebuah kejayaan dan 99% lagi adalah usaha yang consistent (berterusan) seperti kata motivator terkenal Anthony Robbins - constant and never ending improvements (berterusan dan peningkatan tanpa henti). Jadi, apa yang patut anda lakukan di saat ini? 
Mulakan 3 langkah ini :-
1 – Berikan gambaran yang jelas dalam minda anda bentuk kejayaan yang diimpikan,
2 – Nyatakan sebab dan akibat mengapa kita mahukannya
3 – Bayangkan, dengarkan dan rasakan kekuatan anda yang menanti untuk diperhebat dan mula menyusun strategi dari sekarang!!
Berikan gambaran yang jelas dalam minda
Segala tindak tanduk perilaku manusia bermula dari apa yang difikirnya atau apa yang disemai dalam mindanya. Seperti kata mentor saya En Megat, “Anda adalah anda disebabkan daya pemikiran anda, dan anda boleh merombak masa depan anda dengan merombak daya pemikiran anda”, ini bererti masa depan kita bukanlah ditentukan oleh perkara lepas, tetapi apa yang kita fikirkan pada hari ini!
Kuasa minda manusia sangat memberikan impak dalam menentukan perasaan, kelakuan, tindak-tanduk dan sikap. Sebagai contoh, saya masih ingat lagi zaman sekolah menengah dulu, saya adalah di antara pelajar yang kurang berminat dengan subjek matematik, kerana dalam minda saya matematik itu susah dan sukar nak temui jawapan. Jadi apa yang berlaku? Di sinilah bermulanya peranan minda kita iaitu bertindak berdasarkan apa yang kita percaya, yang pertama matematik itu susah dan sukar temui jawapan. Maka dengan dua perkataan ini mampu mengawal seluruh sistem badan saya untuk bertindak berdasarkan apa yang difikir, lebih-lebih lagi apabila nampak cikgu matematik melangkah masuk ke dalam kelas mulalah tubuh badan terasa lemah, tangan terasa berat bagaikan ada batu 20kg di tangan untuk memegang pen dan mata mula meliar mencari jalan kalau-kalau dapat keluar, dan akhirnya saya terus tidak dapat menguasai subjek matemati dengan baik. Nampak kan, betapa besarnya kuasa kepercayaan minda dalam menentukan masa depan seseorang!!!

Saturday 8 October 2011

Tentang Penulis


Mohd Elyas Bin Ismail dilahirkan di Kedah,  pada 05 hb. Feb 1986. Memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Pendang, Kedah dan kemudian ke Maktab Mahmud Alor Star, Kedah. Dan melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam bidang Quran Sunnah, Kemudian meneruskan langkah mendalami ilmu di Universiti Al-azhar di Kuliah Usuluddin Jabatan Tafsir. Sejak di bangku sekolah lagi beliau sangat aktif menyampaikan ceramah dan motivasi di sekolah-sekolah sekitar Kedah. Namun sejak 2007 beliau telah bergiat secara  serius dalam bidang Latihan dan Motivasi. Kursus yang dikendalikan beliau lebih menjurus pada Motivasi Pembangunan Diri dan Kumpulan (Self Improvement & Team Player)  Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai Senior Trainer di syarikatnya (E-Class Training Centre).

Kini beliau telah melatih lebih dari 4000 orang peserta  bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta termasuk juga NGO. Pengalamannya menjelajah ke beberapa buah negara Asia dan Timur Tengah seperti India, Serilanka, Turki, Saudi,  Jordan dan Mesir menambahkan kematangannya dalam bidang  latihan. Beliau juga sering diundang dalam slot Motivasi Pagi di RTM 1 dan juga sebagai pengacara rancangan Ayat Riwayat terbitan TV Al-Hijrah yang ditayangkan sepanjang bulan Ramadhan.