Tuesday 29 November 2011



Kita sering mendengar malah kita sendiri amat gemar menggunakan alasan ini. 
"Saya adalah seorang yang lemah".
"Saya tidak mampu kerana saya lemah." 
"Maafkan saya, kerana kelemahan saya ini"

Dari satu sudut, anda sudah mengaku secara jujur akan kelemahan diri. 
Kemudian apa tindakan selanjutnya? 
Adakan hanya mengakui dan meletakkan kesalahan atas kelemahan tersebut, maka terlepaslah rasa bersalah? 
Selesaikah segala masalah yang dihadapi? 

Kenapa tidak menggali kelemahan itu? Kaji dan analisa kembali. 
Adakah kelemahan itu bersifat kekal dalam diri dan tidak boleh diubah atau dibetulkan? 
Kenapa kelemahan itu menjadi sebahagian dari hidup kita? 
Apa yang menyebabkan kelemahan itu terus melekat dalam diri? 
Adakah kita terlalu selesa dengan kelemahan itu? 

Ketemukan diri sendiri, 
Jujurlah pada diri sendiri
Bertanya, adakah aku akan terus menerus begini?

Atau

Aku benar-benar mahu membaiki kelemahan
Benar-benar mahu menjadi yang lebih baik
Bersungguh-sungguh mahu mengapai sebuah kejayaan
Berazam dengan penuh semangat bahawa  

Aku 

tidak mahu berlengah lagi
tidak mahu bertangguh lagi 
inilah masanya, manfaatkan sepenuhnya
merancang dengan hati-hati
teliti bila melaksanakannya
belajar, menimba ilmu secukupnya
mengambil iktibar dari kesilapan


Daftar sekarang dengan melayakkan diri anda sebagai JUARA!!!

Monday 28 November 2011

PENGALAMAN ATAU PENGULANGAN ?



Bekerja adalah sebahagian daripada sebuah kehidupan untuk memenuhi keperluan hidup, membina karisma diri, melebarluaskan perkhidmatan, dan perkembangan diri agar meningkat lebih baik. Ramai di kalangan para pekerja tidak kira sama ada bekerja sendiri, swasta atau penjawat awam yang memandang kerja hanya sekadar kerja tidak lebih dari itu. Sedangkan orang-orang berjaya melihat kerja lebih jauh dari sebuah pekerjaan.


Kerana itulah istilah kerjaya itu sebenarnya gabungan dari 2 perkataan iaitu ‘kerja + berjaya’, bererti setiap kerja itu bermatlamatkan kejayaan bukan hanya semata-mata gaji! Seringkali kita terdengar suara-suara yang menyatakan dengan bangganya “Saya dah kerja dalam bidang ni 20 tahun dah, tak payah nak ajar saya, tempat ni dah macam padang permainan saya!”kata suara-suara tersebut. Cuba kita teliti semula apa yang dikatakan tadi, 20 tahun bekerja??Adakah benar dia mempelajari sesuatu dari kerja yang dilakukannya selama 20 tahun tersebut?

Robert T. Kiyosaki berkata, “Carilah pekerjaan yang memungkinkan anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak”. Rata-rata yang pernah saya jumpa sebenarnya mereka hanya mengulang-ulang kerja tersebut tanpa sebarang peningkatan dalam kualiti kerja mereka dan ada yang makin merosot, apa yang boleh dibanggakan hanyalah tahun bekerja bukannya peningkatan kerja! Ini bererti kalau 20 tahun bekerja mungkin 1 atau 2 tahun sahaja yang seseorang itu belajar dan meningkatkan kualiti kerjanya, selebihnya 19 tahun itu hanya ulang perkara yang sama setiap hari dan setiap tahun!

Kerjaya ini terbahagi kepada 3 kumpulan besar, iaitu occupation, profession, dan vacation. Occupation bererti seseorang yang bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya (mungkin 8 hingga 5) dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji). Jenis pekerja sebegini hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanan yang diterima secara tetap sudah memadai baginya, jenisnya tidak menghiraukan bagaimana nasib syarikat dan kerjayanya. Apa yang dipentingkannya adalah “Adakah bulan depan masih boleh menerima gaji?” Mereka yang berada pada tahap ini di panggil sebagai Pekerja semalam, hari ini dan esok sama sahaja, atau Pekerja Tanpa Prestasi (PTP)!

Professional pula ialah mereka yang tidak hanya bekerja bagi menunaikan kewajipan dan tugas harian semata-mata, tetapi juga berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan pekerjaanya. Di tahap ini mereka terus menempa namanya dengan melakukan sebaik mungkin agar hari ini lebih baik dari semalam, kerana baginya tidak ada waktu yang terbuang, bahkan apabila kerjanya selesai dia bersedia untuk membantu rakan yang lain menyiapkan tugasan mereka. Berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Walaubagaimanapun tahap tertinggi personaliti dalam kerjaya ialah vacation. Mereka yang berada pada tahap ini sebenarnya bukanlah bermaksud bercuti (seperti makna asalnya iaitu vacation = bercuti) tetapi mereka ini tidak lagi terlalu mementingkan apa yang akan diperolehi namun lebih kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain. Maksudnya ‘bercuti’ dari kepentingan diri dan peribadi sehinggakan rela melepaskan kedudukan dan kerjayanya demi kepentingan orang lain. Seringkali saya diingatkan bahawa pekerjaan adalah suatu usaha untuk memperoleh hasil (result) disertai kepuasan dan pemberian.

Jenis Kerjaya
Ciri-ciri
Occupation
Bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji) dan hanya mementingkan gaji semata-mata
Professional
Berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Vacation
Lebih mementingkan kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain

Masih teringat keratan dari sebuah majalah yang menceritakan tentang kejayaan seorang lelaki tua yang merupakan seorang duda setelah kematian isterinya akibat kanser servik 10 tahun lalu dalam keadaan membesarkan anak-anaknya seramai 9 orang. Kerjanya hanyalah sebagai tukng kebun di sebuah sekolah. Hari ini semua anak-anaknya telah berjaya melakar nama dengan kejayaan masing-masing hasil usaha tangan seorang lelaki tukang kebun. Apabila ditanya apakah rahsianya membesarkan anak-anak beliau menjawab “Keikhlasan dalam bekerja”.

Katanya ikhlas bekerja bukanlah bermaksud tidak mengambil upah, tetapi melakukan sesuatu dengan amanah, sungguh-sungguh dan kreatif. Baginya keindahan suasana persekitaran sekolah sangat penting untuk wujudkan rasa seronok untuk belajar dan mengajar di kalangan guru dan murid. “Setiap hari pakcik akan fikir sorang-sorang bagaimana untuk mengindahkan lagi kawasan sekolah ini, mudah-mudahan berkat kreativiti pakcik untuk menyenangkan hati pihak sekolah akan dibalas pahala oleh Allah S.W.T” katanya dengan penuh pengharapan. 

Inilah di antara contoh kekuatan dalam peningkatan kerjaya yang harus dipandang luarbiasa, ayuh! Bangkitkan jiwa pejuangan kita demi insan lain kerana sebaik-baik ciptaan harus menjadi sebaik-baik pemberi!

Sunday 20 November 2011

ANUGERAH PELUANG


Antara perkara yang sangat berharga dalam hidup ini adalah peluang. Dalam tak sedar hidup juga sebuah peluang, segala yang berlaku dalam hidup juga sebuah peluang, meluangkan masa untuk membaca artikel ini juga sebuah peluang!! Tidak semua orang menyedari akan hakikat peluang, namun bagi insan-insan yang tahu apa yang dimahukan dalam hidupnya sentiasa bijak mencipta peluang. 

Seperti kata bijak pandai orang lemah mensia-siakan peluang, orang biasa melihat peluang, orang berjaya menggunakan peluang dan orang yang berjiwa juara mencipta peluang. Setiap manusia diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna dalam hidup sama ada untuk Allah, diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.


Peluang Datang   +   Niat yang Baik  + Tindakan yang Positif  =  Hasil yang Bermakna

Seperti di dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W ‘’Ada dua kenikmatan yang menyebabkan ramai manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari). Menerusi hadis ini Nabi Muhammad S.A.W ingin mendidik kita agar memanfaatkan ‘nikmat’ yang jarang-jarang manusia nilai ia sebagai nikmat.

Jelas terbayang dalam fikiran saya di saat berbual-bual dengan arwah ayah yang juga merupakan seorang bilal di sebuah masjid di Kedah, kata ayah “Bila waktu sihat ayah rasa seronok sangat nak bercucuk tanam, beribadat, berjamaah di masjid, tapi bila tak berapa sihat lagi rasa seronok nak buat tu semua sebab bila sakit kita dapat dua pahala satu pahala buat amalan satu lagi pahala bersyukur dengan sakit yang diberi sebab melatih kita lawan hawa nafsu” dengan nada yang sangat berkobar-kobar. Itulah dia sifat dan pegangan arwah ayah yang  selalu membangkitkan semangat dalaman diri ini untuk menghargai anugerah peluang.

Kadangkala menitis air matanya bila berbicara  lebih-lebih lagi dalam soal kesempatan hidup yang Allah berikan ini hingga pernah terlintas di bibirnya “ Agak-agak layak ke kita semua sekeluarga nak berjiran dengan Nabi Muhammad S.A.W di syurga nanti sedang peluang hidup untuk berbakti dan beribadat ni kita abaikan?” sungguh jauh harapan dan impiannya.

Allah menjadikan masa selama 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan kehidupan. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara yang penting seperti kata Stephen R. Covey First Thing First iaitu Mengutamakan yang Utama. Namun bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara yang lain adalah dengan memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagi-bahagikan masa yang ada dengan efektif.

Jika kita teliti kehidupan para sahabat r.a, mereka memaksimumkan peluang masa muda dan sihat sebelum datangnya waktu tua. Khalid al-Walid sebagai contoh menjadi tentera yang berjuang  semenjak usianya belasan tahun lagi, begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Namun yang mengagumkan dari kalangan yang tua ialah Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang hanya kerana usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah. Pernah juga saya terbaca kisah-kisah hebat pemuda-pemuda yang berjiwa besar walau bertubuh sederhana seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menakluk constantinople (hari ini Istanbul) dan Tariq bin Ziyad yang berjaya menakluk Andalusia(Sepanyol).

Kerana itulah insan berjaya sentiasa menghargai peluang, mereka memandang setiap kepayahan kesusahan dalam hidup merupakan sebuah peluang untuk belajar sesuatu dari apa yang dilalui, namun orang lemah seringkali bersikap pasif dan reaktif dengan menyalahkan takdir tiap kali kesusahan menimpa. Antara pesan guru saya tiap kali kepayahan atau musibah melanda cuba latihkan diri dengan menghindarkan diri dari 3M iaitu Mengeluh, Menyesal, menyalahkan. Inilah antara tabiat manusia pasif atau lemah, seringkali mengulang-ulang 3M tersebut hingga akhirnya ia menjadi program diri yang bakal membawa kegagalan dalam hidup.

Sebagai seorang suami, jadikan peluang berumahtangga ini sebagai proses pembelajaran, maksudnya bersedialah untuk mengajar dan diajar bersama isteri dan anak-anak. Bukankah pepatah Inggeris ada mengatakan when you stop learning you stop leading! Apabila anda berhenti belajar maka anda sudah berhenti dari memimpin. Ini menunjukkan peluang memimpin itu adalah peluang untuk belajar. Apa akan terjadi apabila seorang anak menegur perbuatan ayahnya yang lupa menutup suis lampu bilik air, selalunya jika kita perhatikan segelintir di kalangan ayah yang melenting atau memarahi semula anaknya dengan alasan budak-budak tak baik menegur orang tua. Walaubagaimanapun bagi ayah yang mengambil peluang ini sebagai satu pelajaran maka wujudlah suasana harmoni di dalam rumahtangga di mana ayahnya mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberi.

Ciptalah peluang untuk membaiki diri dan insan-insan di sekeliling kita agar mereka merasai anugerah peluang kerana inilah peluang bagi anda memulakan langkah menuju kejayaan! 

Thursday 17 November 2011

HANYA KERANA SEDIKIT

Sejak kecil kita sentiasa diingatkan untuk menyimpan duit, kata ibu “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”, nak mengajarkan pada kita dengan tabiat menyimpan bermula dengan sedikit itu akan membuahkan hasil yang lumayan kelak di masa hadapan. 

Kita juga diingatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W menerusi sabda baginda , “Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit”, inilah di antara formula insan-insan berjaya di atas muka bumi ini di mana mereka menjadikan ‘soal sedikit’ itu sebagai rutin atau tabiat yang akhirnya menjadikan mereka manusia yang sangat cemerlang. Oleh itu cuba kita perhatikan pada diri,apakah perkara-perkara kecil atau sedikit yang sering diamalkan hingga kita menjadi manusia yang dihormati atau paling dibenci hari ini sama ada di tempat kerja, rumahtangga, dan masyarakat?

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda bahawa, “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat buat insan lain”,ini bererti setiap proses kecemerlangan bermula dari sedikit kesedaran untuk melebarluaskan manfaat diri buat orang lain. Namun masih ramai di kalangan kita termasuk saya yang masih lagi belum sedar akan beberapa sikap dan tabiat yang sedikit kita lakukan hingga menjadi penghalang kejayaan diri, mungkin hanya dengan kita merubah atau membetulkan yang sedikit itu pasti kita berjaya beroleh kecemerlangan yang diimpi.

Saya masih ingat kisah seorang sahabat saya yang baru belajar bermain golf, seumur hidup tak pernah dapat peluang main golf apatah lagi pegang kayu golf! Sewaktu tengah berlatih di padang golf, dia seringkali rasa tertekan kerana tiap pukulannya tak berjaya memasuki lubang yang jaraknya tak berapa jauh! Oleh kerana semangatnya berkobar-kobar untuk mencuba maka berulang kali dipukulnya sehinggalah gelagatnya diperhatikan seorang pemain golf yang berpengalaman yang berada berhampirannya. 

Kata pemain berpengalaman itu, “Cuba awak ubah sedikit cara pukulan awak”, sahabat saya masih tak faham, “Maksud saya jika awak pukul dengan cara yang sama 10tahun lagi pun belum tentu bola golf itu akan masuk ke dalam lubang!”kata pemain berpengalaman itu.Sangat mendalam maksud kata-katanya untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian kita. Kadangkala kita lebih selesa dengan cara lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah sedangkan kita jarang terfikir untuk membuat sedikit kelainan dalam menyelesaikannya. Akhirnya sahabat saya mencuba dengan cara pukulan yang berlainan setiap kali pukulan dan barulah dia berjaya memasukkan bola golf ke dalam lubang.

Beginilah dalam kehidupan sebenar kita, seringkali apa yang kita percaya atau bluprint minda membawa ke arah tindakan sama ada dapat memajukan diri atau sebaliknya. Seorang ayah berkongsi kisah tentang keluarganya yang boleh kita ambil pengajaran bersama, dia seorang ayah yang sangat tertekan dengan sikap anak-anaknya yang degil dan tak hormat cakap orang tua, sedangkan sejak kecil diberi pelajaran diajar supaya hormat menghormati dalam keluarga.

Saya terdiam seketika memikirkan apa yang boleh saya bantu, lalu saya tanya pada ayah tersebut, “Hingga ke saat ni, apa pandangan encik terhadap sikap anak-anak encik?”, dia menjawab dengan nada mengeluh, “Saya nampak anak saya tak boleh diubah, sebab dia degil sangat-sangat sebab ikut kawan”, saya tersenyum kerana seakan-akan jalan penyelesaian semakin hampir.

“Agak-agak encik, kawan-kawan dia mampu ke mengubah anak encik?” saya memberi sedikit pembuka jalan, “Emmm mungkin sebab dia lebih suka dengan kawan-kawan dia jadi mudahlah kawan-kawan mengubah dia” menegaskan jawapannya. Saya dapati air mukanya sangat berharap anak-anaknya dapat kembali pada fitrah asal mereka. “Encik, berdasarkan apa yang encik kongsikan dengan saya tadi, apa kata encik cuba ubah sedikit cara memandang (fokus) terhadap anak-anak encik, tadi encik kata anak saya tak boleh diubah, jika itu pandangannya maka encik akan terus berhenti dari menasihati, memberi teladan, berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak encik kerana itu fokus dalam minda encik, dan apa yang lebih teruk lagi encik meletakkan kuasa mengubah itu pada kawan-kawannya!!” saya cuba menampakkan isu sebenar yang harus dia tahu. 

Dia mula termenung, “Jadi apa yang harus saya buat ialah membetulkan sedikit cara pandang (fokus) saya pada anak saya?” seakan-akan akur dengan pandangan saya tadi, “Ya itulah yang sebaik-baiknya” jawab saya.

Oleh kerana itulah kadangkala dalam hidup ini hanya dengan mengubah sedikit perkara sahaja yang ada dalam minda dan perasaan kita mampu membawa kita jauh dari apa yang sangka seperti slogan program motivasi Anda Juara anjuran syarikat Eclass Training ‘Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa’!!

Thursday 3 November 2011

Harga Sebuah Pengorbanan

Pepatah Melayu ada mengatakan “Bila adanya cinta, di sana adanya pengorbanan”, “Tanpa pengorbanan mimpi tak bermakna”, “Setiap cita-cita mesti disusuli pengorbanan”. Inilah di antara kata-kata yang sering kita dengar yang nak mengambarkan betapa tingginya dan perlunya sebuah pengorbanan dalam setiap ruang hidup manusia, ada juga yang mengatakan  barangsiapa yang tidak berkorban pasti terkorban. Ini bererti setiap orang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Oleh kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan maka seharusnya kita menjadi sebaik-baik pemberi kepada agama,keluarga, masyarakat dan kerjaya.


Jika dilihat dari sudut bahasa arab korban adalah dari kalimah qaraba yang membawa maksud dekat, jadi apa kaitannya di antara pengorbanan dengan dekat? Apa yang dapat difahami di sini ialah pengorbanan adalah satu proses mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain.

                                                                Pengorbanan = Mendekatkan

Sebagai contoh seorang ibu yang berkorban untuk anak-anak maka hasilnya pengorbanan si ibu tadi akan mendekatkan atau merapatkan hubungannya dengan anak-anak. Seorang suami yang mengorbankan sedikit masa atau wang ringgit demi isteri dan  keluarga akan merasai nikmat semakin dekat dengan keluarga tercintanya. Seorang lelaki yang mengorbankan masa tidurnya untuk bangun di sepertiga malam kerana Allah akan terasa semakin dekat dengan rahmat dan rahim Allah Yang Maha Agung. Sorang anak yang mengorbankan masa kerjanya hanya semata-mata untk balik ke kampung menjenguk ibu yang keseorangan pastinya semakin dekat hati anak dan hati si ibu.

Alangkah indahnya dunia ini jika setiap dari kita menyuburkan rasa ingin berkorban demi mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Ayuh kita merenung sirah pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu bernama Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, adalah di antara lambang kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan ibu.

Benarlah kata mentor saya En. Khaeril Anuar yang berkata, “Di antara lambang pengorbanan seseorang pada keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya”. Walaubagaimanapun setiap pengorbanan perlu ada strategi tersendiri agar tidak terkorban di kemudian hari maksudnya setiap dari kita mempunyai komitmen atau tanggungjawab tersendiri,maka perlu bijak dalam mengimbangkan semuanya.

Saya masih ingat seorang peserta saya pernah menyuarakan berkongsi pandangannya mengenai erti pengorbanan. Dia menceritakan bahawa dia adalah seorang ibu yang sangat baik dan penyayang terhadap anak-anak, setiap keluhan dan kesedihan anak-anaknya sentiasa diberi perhatian seboleh-bolehnya dia mahukan senyuman sentiasa terukir di bibir mereka. Namun dalam keghairahan dia berkorban demi anak-anak dia terlupa bahawa dalam masa yang sama dia juga seorang isteri pada suaminya, dan lebih menyedihkan suaminya baru sahaja meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat memohon maaf atas kealpaanya selama suaminya masih hidup.

Dalam kursus yang sama juga seorang peserta lain juga dengan hati yang terbuka berkongsi kisahnya, dia seorang pekerja contoh dan seringkali mendapat jolokan ‘pekerja harapan malaya’ kerana setiap tugasan yang diberikan pasti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, hubungan dengan pekerja lain sangat baik sehinggakan ada yang berkata jika tak datang pejabat satu hari macam mendung suasana pejabat. Dia cukup berkorban demi kerjayanya, namun satu yang menyedihkan ialah dia gagal menjadi anak yang baik terhadap ibu dan ayahnya, dalam setahun boleh dikira berapa kali pulang ke kampung, atau jarang sekali menelefon hanya sekadar bertanya khabar.

Kerana itulah saya katakan pengorbanan perlukan strategi dan keseimbangan dalam menguruskannya. Bagaimana dengan hidup anda? Sudahkah anda berkorban sesuatu demi melihat insan yang anda kasihi tersenyum sentiasa? Bila kali terakhir anda berkorban? Selamat Hari Raya Korban!