Thursday 3 November 2011

Harga Sebuah Pengorbanan

Pepatah Melayu ada mengatakan “Bila adanya cinta, di sana adanya pengorbanan”, “Tanpa pengorbanan mimpi tak bermakna”, “Setiap cita-cita mesti disusuli pengorbanan”. Inilah di antara kata-kata yang sering kita dengar yang nak mengambarkan betapa tingginya dan perlunya sebuah pengorbanan dalam setiap ruang hidup manusia, ada juga yang mengatakan  barangsiapa yang tidak berkorban pasti terkorban. Ini bererti setiap orang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Oleh kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan maka seharusnya kita menjadi sebaik-baik pemberi kepada agama,keluarga, masyarakat dan kerjaya.


Jika dilihat dari sudut bahasa arab korban adalah dari kalimah qaraba yang membawa maksud dekat, jadi apa kaitannya di antara pengorbanan dengan dekat? Apa yang dapat difahami di sini ialah pengorbanan adalah satu proses mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain.

                                                                Pengorbanan = Mendekatkan

Sebagai contoh seorang ibu yang berkorban untuk anak-anak maka hasilnya pengorbanan si ibu tadi akan mendekatkan atau merapatkan hubungannya dengan anak-anak. Seorang suami yang mengorbankan sedikit masa atau wang ringgit demi isteri dan  keluarga akan merasai nikmat semakin dekat dengan keluarga tercintanya. Seorang lelaki yang mengorbankan masa tidurnya untuk bangun di sepertiga malam kerana Allah akan terasa semakin dekat dengan rahmat dan rahim Allah Yang Maha Agung. Sorang anak yang mengorbankan masa kerjanya hanya semata-mata untk balik ke kampung menjenguk ibu yang keseorangan pastinya semakin dekat hati anak dan hati si ibu.

Alangkah indahnya dunia ini jika setiap dari kita menyuburkan rasa ingin berkorban demi mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Ayuh kita merenung sirah pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu bernama Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, adalah di antara lambang kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan ibu.

Benarlah kata mentor saya En. Khaeril Anuar yang berkata, “Di antara lambang pengorbanan seseorang pada keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya”. Walaubagaimanapun setiap pengorbanan perlu ada strategi tersendiri agar tidak terkorban di kemudian hari maksudnya setiap dari kita mempunyai komitmen atau tanggungjawab tersendiri,maka perlu bijak dalam mengimbangkan semuanya.

Saya masih ingat seorang peserta saya pernah menyuarakan berkongsi pandangannya mengenai erti pengorbanan. Dia menceritakan bahawa dia adalah seorang ibu yang sangat baik dan penyayang terhadap anak-anak, setiap keluhan dan kesedihan anak-anaknya sentiasa diberi perhatian seboleh-bolehnya dia mahukan senyuman sentiasa terukir di bibir mereka. Namun dalam keghairahan dia berkorban demi anak-anak dia terlupa bahawa dalam masa yang sama dia juga seorang isteri pada suaminya, dan lebih menyedihkan suaminya baru sahaja meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat memohon maaf atas kealpaanya selama suaminya masih hidup.

Dalam kursus yang sama juga seorang peserta lain juga dengan hati yang terbuka berkongsi kisahnya, dia seorang pekerja contoh dan seringkali mendapat jolokan ‘pekerja harapan malaya’ kerana setiap tugasan yang diberikan pasti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, hubungan dengan pekerja lain sangat baik sehinggakan ada yang berkata jika tak datang pejabat satu hari macam mendung suasana pejabat. Dia cukup berkorban demi kerjayanya, namun satu yang menyedihkan ialah dia gagal menjadi anak yang baik terhadap ibu dan ayahnya, dalam setahun boleh dikira berapa kali pulang ke kampung, atau jarang sekali menelefon hanya sekadar bertanya khabar.

Kerana itulah saya katakan pengorbanan perlukan strategi dan keseimbangan dalam menguruskannya. Bagaimana dengan hidup anda? Sudahkah anda berkorban sesuatu demi melihat insan yang anda kasihi tersenyum sentiasa? Bila kali terakhir anda berkorban? Selamat Hari Raya Korban!

No comments:

Post a Comment