Antara perkara yang sangat berharga dalam hidup ini adalah peluang. Dalam tak sedar hidup juga sebuah peluang, segala yang berlaku dalam hidup juga sebuah peluang, meluangkan masa untuk membaca artikel ini juga sebuah peluang!! Tidak semua orang menyedari akan hakikat peluang, namun bagi insan-insan yang tahu apa yang dimahukan dalam hidupnya sentiasa bijak mencipta peluang.
Seperti kata bijak pandai orang lemah mensia-siakan peluang, orang biasa melihat peluang, orang berjaya menggunakan peluang dan orang yang berjiwa juara mencipta peluang. Setiap manusia diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna dalam hidup sama ada untuk Allah, diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.
Peluang Datang + Niat yang Baik + Tindakan yang Positif = Hasil yang Bermakna
Seperti di dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W ‘’Ada dua kenikmatan yang menyebabkan ramai manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari). Menerusi hadis ini Nabi Muhammad S.A.W ingin mendidik kita agar memanfaatkan ‘nikmat’ yang jarang-jarang manusia nilai ia sebagai nikmat.
Jelas terbayang dalam fikiran saya di saat berbual-bual dengan arwah ayah yang juga merupakan seorang bilal di sebuah masjid di Kedah, kata ayah “Bila waktu sihat ayah rasa seronok sangat nak bercucuk tanam, beribadat, berjamaah di masjid, tapi bila tak berapa sihat lagi rasa seronok nak buat tu semua sebab bila sakit kita dapat dua pahala satu pahala buat amalan satu lagi pahala bersyukur dengan sakit yang diberi sebab melatih kita lawan hawa nafsu” dengan nada yang sangat berkobar-kobar. Itulah dia sifat dan pegangan arwah ayah yang selalu membangkitkan semangat dalaman diri ini untuk menghargai anugerah peluang.
Kadangkala menitis air matanya bila berbicara lebih-lebih lagi dalam soal kesempatan hidup yang Allah berikan ini hingga pernah terlintas di bibirnya “ Agak-agak layak ke kita semua sekeluarga nak berjiran dengan Nabi Muhammad S.A.W di syurga nanti sedang peluang hidup untuk berbakti dan beribadat ni kita abaikan?” sungguh jauh harapan dan impiannya.
Allah menjadikan masa selama 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan kehidupan. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara yang penting seperti kata Stephen R. Covey First Thing First iaitu Mengutamakan yang Utama. Namun bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara yang lain adalah dengan memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagi-bahagikan masa yang ada dengan efektif.
Jika kita teliti kehidupan para sahabat r.a, mereka memaksimumkan peluang masa muda dan sihat sebelum datangnya waktu tua. Khalid al-Walid sebagai contoh menjadi tentera yang berjuang semenjak usianya belasan tahun lagi, begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Namun yang mengagumkan dari kalangan yang tua ialah Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang hanya kerana usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah. Pernah juga saya terbaca kisah-kisah hebat pemuda-pemuda yang berjiwa besar walau bertubuh sederhana seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menakluk constantinople (hari ini Istanbul) dan Tariq bin Ziyad yang berjaya menakluk Andalusia(Sepanyol).
Kerana itulah insan berjaya sentiasa menghargai peluang, mereka memandang setiap kepayahan kesusahan dalam hidup merupakan sebuah peluang untuk belajar sesuatu dari apa yang dilalui, namun orang lemah seringkali bersikap pasif dan reaktif dengan menyalahkan takdir tiap kali kesusahan menimpa. Antara pesan guru saya tiap kali kepayahan atau musibah melanda cuba latihkan diri dengan menghindarkan diri dari 3M iaitu Mengeluh, Menyesal, menyalahkan. Inilah antara tabiat manusia pasif atau lemah, seringkali mengulang-ulang 3M tersebut hingga akhirnya ia menjadi program diri yang bakal membawa kegagalan dalam hidup.
Sebagai seorang suami, jadikan peluang berumahtangga ini sebagai proses pembelajaran, maksudnya bersedialah untuk mengajar dan diajar bersama isteri dan anak-anak. Bukankah pepatah Inggeris ada mengatakan when you stop learning you stop leading! Apabila anda berhenti belajar maka anda sudah berhenti dari memimpin. Ini menunjukkan peluang memimpin itu adalah peluang untuk belajar. Apa akan terjadi apabila seorang anak menegur perbuatan ayahnya yang lupa menutup suis lampu bilik air, selalunya jika kita perhatikan segelintir di kalangan ayah yang melenting atau memarahi semula anaknya dengan alasan budak-budak tak baik menegur orang tua. Walaubagaimanapun bagi ayah yang mengambil peluang ini sebagai satu pelajaran maka wujudlah suasana harmoni di dalam rumahtangga di mana ayahnya mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberi.
Ciptalah peluang untuk membaiki diri dan insan-insan di sekeliling kita agar mereka merasai anugerah peluang kerana inilah peluang bagi anda memulakan langkah menuju kejayaan!
No comments:
Post a Comment