Monday 28 November 2011

PENGALAMAN ATAU PENGULANGAN ?



Bekerja adalah sebahagian daripada sebuah kehidupan untuk memenuhi keperluan hidup, membina karisma diri, melebarluaskan perkhidmatan, dan perkembangan diri agar meningkat lebih baik. Ramai di kalangan para pekerja tidak kira sama ada bekerja sendiri, swasta atau penjawat awam yang memandang kerja hanya sekadar kerja tidak lebih dari itu. Sedangkan orang-orang berjaya melihat kerja lebih jauh dari sebuah pekerjaan.


Kerana itulah istilah kerjaya itu sebenarnya gabungan dari 2 perkataan iaitu ‘kerja + berjaya’, bererti setiap kerja itu bermatlamatkan kejayaan bukan hanya semata-mata gaji! Seringkali kita terdengar suara-suara yang menyatakan dengan bangganya “Saya dah kerja dalam bidang ni 20 tahun dah, tak payah nak ajar saya, tempat ni dah macam padang permainan saya!”kata suara-suara tersebut. Cuba kita teliti semula apa yang dikatakan tadi, 20 tahun bekerja??Adakah benar dia mempelajari sesuatu dari kerja yang dilakukannya selama 20 tahun tersebut?

Robert T. Kiyosaki berkata, “Carilah pekerjaan yang memungkinkan anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak”. Rata-rata yang pernah saya jumpa sebenarnya mereka hanya mengulang-ulang kerja tersebut tanpa sebarang peningkatan dalam kualiti kerja mereka dan ada yang makin merosot, apa yang boleh dibanggakan hanyalah tahun bekerja bukannya peningkatan kerja! Ini bererti kalau 20 tahun bekerja mungkin 1 atau 2 tahun sahaja yang seseorang itu belajar dan meningkatkan kualiti kerjanya, selebihnya 19 tahun itu hanya ulang perkara yang sama setiap hari dan setiap tahun!

Kerjaya ini terbahagi kepada 3 kumpulan besar, iaitu occupation, profession, dan vacation. Occupation bererti seseorang yang bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya (mungkin 8 hingga 5) dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji). Jenis pekerja sebegini hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanan yang diterima secara tetap sudah memadai baginya, jenisnya tidak menghiraukan bagaimana nasib syarikat dan kerjayanya. Apa yang dipentingkannya adalah “Adakah bulan depan masih boleh menerima gaji?” Mereka yang berada pada tahap ini di panggil sebagai Pekerja semalam, hari ini dan esok sama sahaja, atau Pekerja Tanpa Prestasi (PTP)!

Professional pula ialah mereka yang tidak hanya bekerja bagi menunaikan kewajipan dan tugas harian semata-mata, tetapi juga berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan pekerjaanya. Di tahap ini mereka terus menempa namanya dengan melakukan sebaik mungkin agar hari ini lebih baik dari semalam, kerana baginya tidak ada waktu yang terbuang, bahkan apabila kerjanya selesai dia bersedia untuk membantu rakan yang lain menyiapkan tugasan mereka. Berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Walaubagaimanapun tahap tertinggi personaliti dalam kerjaya ialah vacation. Mereka yang berada pada tahap ini sebenarnya bukanlah bermaksud bercuti (seperti makna asalnya iaitu vacation = bercuti) tetapi mereka ini tidak lagi terlalu mementingkan apa yang akan diperolehi namun lebih kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain. Maksudnya ‘bercuti’ dari kepentingan diri dan peribadi sehinggakan rela melepaskan kedudukan dan kerjayanya demi kepentingan orang lain. Seringkali saya diingatkan bahawa pekerjaan adalah suatu usaha untuk memperoleh hasil (result) disertai kepuasan dan pemberian.

Jenis Kerjaya
Ciri-ciri
Occupation
Bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji) dan hanya mementingkan gaji semata-mata
Professional
Berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Vacation
Lebih mementingkan kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain

Masih teringat keratan dari sebuah majalah yang menceritakan tentang kejayaan seorang lelaki tua yang merupakan seorang duda setelah kematian isterinya akibat kanser servik 10 tahun lalu dalam keadaan membesarkan anak-anaknya seramai 9 orang. Kerjanya hanyalah sebagai tukng kebun di sebuah sekolah. Hari ini semua anak-anaknya telah berjaya melakar nama dengan kejayaan masing-masing hasil usaha tangan seorang lelaki tukang kebun. Apabila ditanya apakah rahsianya membesarkan anak-anak beliau menjawab “Keikhlasan dalam bekerja”.

Katanya ikhlas bekerja bukanlah bermaksud tidak mengambil upah, tetapi melakukan sesuatu dengan amanah, sungguh-sungguh dan kreatif. Baginya keindahan suasana persekitaran sekolah sangat penting untuk wujudkan rasa seronok untuk belajar dan mengajar di kalangan guru dan murid. “Setiap hari pakcik akan fikir sorang-sorang bagaimana untuk mengindahkan lagi kawasan sekolah ini, mudah-mudahan berkat kreativiti pakcik untuk menyenangkan hati pihak sekolah akan dibalas pahala oleh Allah S.W.T” katanya dengan penuh pengharapan. 

Inilah di antara contoh kekuatan dalam peningkatan kerjaya yang harus dipandang luarbiasa, ayuh! Bangkitkan jiwa pejuangan kita demi insan lain kerana sebaik-baik ciptaan harus menjadi sebaik-baik pemberi!

No comments:

Post a Comment