Thursday 17 November 2011

HANYA KERANA SEDIKIT

Sejak kecil kita sentiasa diingatkan untuk menyimpan duit, kata ibu “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”, nak mengajarkan pada kita dengan tabiat menyimpan bermula dengan sedikit itu akan membuahkan hasil yang lumayan kelak di masa hadapan. 

Kita juga diingatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W menerusi sabda baginda , “Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit”, inilah di antara formula insan-insan berjaya di atas muka bumi ini di mana mereka menjadikan ‘soal sedikit’ itu sebagai rutin atau tabiat yang akhirnya menjadikan mereka manusia yang sangat cemerlang. Oleh itu cuba kita perhatikan pada diri,apakah perkara-perkara kecil atau sedikit yang sering diamalkan hingga kita menjadi manusia yang dihormati atau paling dibenci hari ini sama ada di tempat kerja, rumahtangga, dan masyarakat?

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda bahawa, “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat buat insan lain”,ini bererti setiap proses kecemerlangan bermula dari sedikit kesedaran untuk melebarluaskan manfaat diri buat orang lain. Namun masih ramai di kalangan kita termasuk saya yang masih lagi belum sedar akan beberapa sikap dan tabiat yang sedikit kita lakukan hingga menjadi penghalang kejayaan diri, mungkin hanya dengan kita merubah atau membetulkan yang sedikit itu pasti kita berjaya beroleh kecemerlangan yang diimpi.

Saya masih ingat kisah seorang sahabat saya yang baru belajar bermain golf, seumur hidup tak pernah dapat peluang main golf apatah lagi pegang kayu golf! Sewaktu tengah berlatih di padang golf, dia seringkali rasa tertekan kerana tiap pukulannya tak berjaya memasuki lubang yang jaraknya tak berapa jauh! Oleh kerana semangatnya berkobar-kobar untuk mencuba maka berulang kali dipukulnya sehinggalah gelagatnya diperhatikan seorang pemain golf yang berpengalaman yang berada berhampirannya. 

Kata pemain berpengalaman itu, “Cuba awak ubah sedikit cara pukulan awak”, sahabat saya masih tak faham, “Maksud saya jika awak pukul dengan cara yang sama 10tahun lagi pun belum tentu bola golf itu akan masuk ke dalam lubang!”kata pemain berpengalaman itu.Sangat mendalam maksud kata-katanya untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian kita. Kadangkala kita lebih selesa dengan cara lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah sedangkan kita jarang terfikir untuk membuat sedikit kelainan dalam menyelesaikannya. Akhirnya sahabat saya mencuba dengan cara pukulan yang berlainan setiap kali pukulan dan barulah dia berjaya memasukkan bola golf ke dalam lubang.

Beginilah dalam kehidupan sebenar kita, seringkali apa yang kita percaya atau bluprint minda membawa ke arah tindakan sama ada dapat memajukan diri atau sebaliknya. Seorang ayah berkongsi kisah tentang keluarganya yang boleh kita ambil pengajaran bersama, dia seorang ayah yang sangat tertekan dengan sikap anak-anaknya yang degil dan tak hormat cakap orang tua, sedangkan sejak kecil diberi pelajaran diajar supaya hormat menghormati dalam keluarga.

Saya terdiam seketika memikirkan apa yang boleh saya bantu, lalu saya tanya pada ayah tersebut, “Hingga ke saat ni, apa pandangan encik terhadap sikap anak-anak encik?”, dia menjawab dengan nada mengeluh, “Saya nampak anak saya tak boleh diubah, sebab dia degil sangat-sangat sebab ikut kawan”, saya tersenyum kerana seakan-akan jalan penyelesaian semakin hampir.

“Agak-agak encik, kawan-kawan dia mampu ke mengubah anak encik?” saya memberi sedikit pembuka jalan, “Emmm mungkin sebab dia lebih suka dengan kawan-kawan dia jadi mudahlah kawan-kawan mengubah dia” menegaskan jawapannya. Saya dapati air mukanya sangat berharap anak-anaknya dapat kembali pada fitrah asal mereka. “Encik, berdasarkan apa yang encik kongsikan dengan saya tadi, apa kata encik cuba ubah sedikit cara memandang (fokus) terhadap anak-anak encik, tadi encik kata anak saya tak boleh diubah, jika itu pandangannya maka encik akan terus berhenti dari menasihati, memberi teladan, berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak encik kerana itu fokus dalam minda encik, dan apa yang lebih teruk lagi encik meletakkan kuasa mengubah itu pada kawan-kawannya!!” saya cuba menampakkan isu sebenar yang harus dia tahu. 

Dia mula termenung, “Jadi apa yang harus saya buat ialah membetulkan sedikit cara pandang (fokus) saya pada anak saya?” seakan-akan akur dengan pandangan saya tadi, “Ya itulah yang sebaik-baiknya” jawab saya.

Oleh kerana itulah kadangkala dalam hidup ini hanya dengan mengubah sedikit perkara sahaja yang ada dalam minda dan perasaan kita mampu membawa kita jauh dari apa yang sangka seperti slogan program motivasi Anda Juara anjuran syarikat Eclass Training ‘Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa’!!

No comments:

Post a Comment