Sunday 22 January 2012

KEINDAHAN DARI KESUSAHAN

Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekuatan yang berbeza. Sebab itulah tiada manusia diciptakan menjadi bodoh melainkan mereka memiliki kepandaian yang berbeza sama ada dalam pelajaran atau kemahiran tertentu. Apabila seseorang manusia itu lahir bersama kekuatan pasti cabaran akan mengiringinya seperti kata Ustaz Mansor iaitu guru saya ketika sekolah menengah dahulu dengan katanya ‘Bila adanya kekuatan pasti ada cabaran’. Inilah yang membezakan di antara manusia yang berjaya dan tidak berjaya kerana ia bermula dari cara manusia itu berfikir.

Cuba perhatikan dan amati kata-kata orang berjaya terhadap cabaran dan kepayahan yang dilalui mereka untuk menuju kejayaan, pasti kata mereka tanpa cabaran maka tiadalah kekuatan. Begitu berbeza sekali cara berfikir manusia berjaya jika dibandingkan dengan manusia  gagal yang hanya mengeluh, menyesal dan sering menyalahkan sana sini menjadi punca kegagalannya seperti lagu ‘Bangau oh Bangau’ yang tak sudah-sudah memberi alasan dan menyalahkan pihak lain sebagai punca.

Manusia berjaya selalu memberi result (jawapan/jalan) manakala manusia gagal pula selalu memberi reason (alasan/sebab) yang berbentuk menyalahkan. Kerana itulah cara mengendalikan kekuatan sedia ada bagi menghadapi segala cabaran adalah dengan mengendalikan cara berfikir yang positif, dinamik dan oportunis (melihat peluang) terlebih dahulu. Manusia cemerlang memahami setiap aturan Tuhan baginya seperti firman Allah S.W.T “Dan boleh jadi apa yang kamu benci itu baik bagi kamu, dan boleh jadi juga apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu. Dan Allah itu Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui apa-apa.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Ilmu yang dimiliki manusia sangat singkat berbanding ilmu Allah S.W.T, jika sesuatu menimpa kita mungkin dengan pandangan jahil kita mengatakan bahawa Tuhan itu zalim atau tidak adil terhadap hambanya, sedangkan yang menimpa itu adalah sangat terbaik bagi kita sebagai satu didikan terus dari Allah S.W.T. Mungkin pada pandangan kita dibuang kerja atau perniagaan semakin merosot sebagai tanda ketidakadilan        Tuhan sedangkan manusia berjaya seringkali memandang bahawa Allah S.W.T sedang mengajarnya erti menghargai kerja dengan disiplin yang tinggi dan menjaga hubungan baik sesama rakan sekerja. Perniagaan merosot pula mungkin juga dia sedang di’ajar’ oleh Allah S.W.T tentang kewajipan dan strategi yang dilupakannya sebagai usahawan.

Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta.

Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari(cepat).” Hadith Qudsi Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seringkali saya terbayang-bayang perumpamaan hidup kita terhadap kepayahan yang diterima seperti seorang anak kecil yang demam panas menjerit-jerit mengatakan “Ibu jahat! Ibu tak sayang saya!” apabila dia disuruh ibunya untuk makan ubat yang sememangnya pahit. Pada pandangan anda para pembaca sekalian, adakah si ibu yang melahirkan dan bersusah payah membesarkan anaknya benar-benar jahat dan tak sayangkan anaknya sendiri? Ya, naluri anda mampu menjawabnya dengar jujur bahawa kerana si ibu sayangkan anaknya yang demamlah membuatkan si ibu memaksa anaknya untuk makan ubat walaupun pahit, manakala si anak masih kecil dan belum mengerti hakikat sebenar ubat yang bertujuan untuk menyembuh dan kemampuan berfikir si anak belum matang dalam melalui kepahitan demi kesihatan.

Begitulah kadangkala sikap manusia pasif yang belum matang dalam menilai erti kesusahan dan kepayahan. Bagi manusia pro aktif dan cemerlang pula kepayahan dan kesusahan adalah kekuatan untuk bangkit menyerlahkan kekuatan sedia ada untuk mencapai apa yang diimpi. Seorang peserta saya berbangsa India berkongsi pandangannya yang cukup memberi makna mendalam pada saya , katanya “Ramai manusia berdoa agar diringankan kesusahan hidup tapi tak ramai manusia berdoa agar dikuatkan jiwa dan semangat menghadapi hidup!”.

Oleh itu ayuh perbetulkan cara fikir kita terhadap kesusahan hidup dan fokus pada kekuatan yang harus dijanakan sedaya mungkin agar mampu melonjakkan kita ke tahap cemerlang maksimum. Hadapi susah untuk menyerlah pantang mengalah kerana kita sememangnya bertuah!


No comments:

Post a Comment