Monday 9 January 2012

KEINGINAN DAN KEMESTIAN


Setiap kali menjelangnya tahun baru sesiapa sahaja pasti akan terasa debarannya lebih-lebih lagi untuk merancang dan melakukan sesuatu yang terbaik bermula dari awal tahun. Namun yang seringkali menjadi tanda tanya pada kita ialah mengapa segala yang diazam dan dirancang hanya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja kemudian kembali seperti biasa, kerja biasa, perangai biasa dan hasil yang biasa tanpa sebarang peningkatan!

Maksud hadis Nabi Muhammad S.A.W Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka

Betapa Nabi Muhammad S.A.W menginginkan umatnya menjadi umat yang sentiasa ada perubahan dan peningkatan pada diri terutamanya pada kekuatan dalaman (spiritual, emosi dan intelek). Pernah saya bertanya pada peserta-peserta kursus tentang siapa di kalangan anda yang bersedia untuk menerima kelemahan diri dan seterusnya memperbakinya? Boleh dikatakan semua mengangkat tangan dengan yakin, soalan saya yang seterusnya siapa pula di kalangan anda yang bersedia untuk mengubah diri dalam tempoh seminggu dari sekarang? Semuanya kelihatan memandang satu sama lain seakan-akan ragu-ragu terhadap diri sendiri.

Ini bererti apa yang dijawab oleh mereka pada awal tadi mungkin hanya sekadar ‘menyedapkan hati’ saja, hakikatnya hanya diri sendiri yang tahu! Ramai di kalangan kita yang mempunyai keinginan yang tinggi dan tak habis-habis, namun cabarannya ialah mampukah kita menyerapkan kekuatan ‘mesti’ dalam diri untuk mencapai keinginan kita?

Sudah tiba masanya untuk mengubah segala yang ‘patut’ kepada ‘mesti’ bagi setiap yang diingini. Ini kerana istilah patut hanya satu bentuk perancangan yang kadangkala menjadi angan-angan kosong, berbanding istilah mesti yang lebih kepada dorongan kuat untuk dilaksanakan. Sebagai contoh :-

1)     “Saya patut kurus dan tak nak gemuk lagi”
2)     “Saya mesti kurus pada tahun 2012 untuk kelihatan segak dan bergaya”

Cuba perhatikan ayat  pertama yang lebih kepada satu bentuk keinginan tanpa spesifikasi (menjurus tepat) pada bila, dan untuk apa ingin kurus. Manakala ayat yang kedua merupakan satu dorongan kuat yang menjadi kemestian dan lebih fokus pada bila serta mengapa ingin kurus.

Inilah di antara faktor kegagalan sebahagian dari kalangan insan-insan yang merancang di awal tahun namun azamnya terkubur di tengah jalan hanya tinggal diari yang penuh dengan berbagai perancangan. Ada 6 kaedah utama yang mesti mengiringi setiap azam dan perancangan kita.

1)     Mesti mengenalpasti kelemahan diri tahun lepas dan menerimanya untuk diperbaiki?
2)     Mesti mengetahui apa sebenarnya yang kita mahukan pada tahun ini?
3)     Mesti tahu mengapa kita mahukannya?
4)     Mesti merancang yang berbentuk mingguan dan bulanan?
5)  Mesti berbincang dengan pihak yang lebih arif untuk mendapat pandangan berkenaan apa dirancang.
6)     Mesti bertindak sekarang (kerana masa yang ada hanya sekarang)!! Time = Action

Lakukan sekarang sekurang-kurangnya 3 tindakan awal untuk merealisasikan impian besar kita kerana pepatah Inggeris ada mengatakan “Yesterday is  history, Tomorrow is mystery and Today is destiny” yang bermaksud semalam adalah sejarah, esok belum tahu, dan hari inilah penentuan masa depan. Sebagai contoh kita ingin memulakan perniagaan maka langkah pertama daftarkan syarikat anda terlebih dahulu dan ini membuatkan minda akan terus menetapkan satu kemestian untuk menjalankan perniagaan.

Langkah kedua sertai mana-mana kursus motivasi keusahawanan dan teknik-teknik pemasaran untuk memberikan semangat dalaman pada kita dari segi keyakinan untuk menjalankan perniagaan. Langkah ketiga mula berkenalan dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa tanpa segan silu memasarkan produk anda. Namun yang sering diingatkan oleh mentor-mentor saya ialah mesti banyak membaca (tidak termasuk suratkhabar) untuk meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kita.

Perlu diingat bahawa satu kajian yang dilakukan di Purdue Universiti Amerika Syarikat mendapati apabila kita membaca sesuatu bahan hanya sekali, dalam tempoh 2 minggu hanya 2% saja dari apa yang dibaca dapat diingat. Walaubagaimanapun jika kita membaca bahan yang sama seminggu kemudian dengan lebih kerap sekurang-kurangnya 6-10% kita akan ingat.   

Oleh itu perubahan dan kemajuan bukan lagi satu keperluan akan tetapi satu kemestian!

No comments:

Post a Comment