Tuesday, 14 February 2012

Badan Bersuara?

Mungkin anda pernah mendengar mutiara kata yang menyebut “Dengarkan apa yang tidak diperdengarkan” apa maksudnya ? Itulah bahasa badan yang tidak bersuara dan hanya ‘diperdengarkan’ melalui kelakuan tubuh. Dalam  tidak sedar rupanya tubuh badan kita juga bersuara selain mulut dan lidah.

Kerana itulah ada sesetengah ahli psikologi manusia lebih mempercayai ‘suara badan’ dari ‘suara lidah’ kerana ia lebih menunjukkan kejujuran diri sebenar. Kajian mendapati 60% – 70% komunikasi bahasa badan lebih mempengaruhi kehidupan manusia kerana ia boleh menjelaskan sesuatu makna atau petunjuk pada kawan atau lawan.

Inilah di antara beberapa kaedah dan tips bagi anda sebagai perkongsian untuk memahami rahsia di sebalik bahasa badan secara ringkas, ia juga sebenarnya mampu membantu untuk MEMPENGARUHI orang lain dalam tidak sedar!

Walaubagaimanapun ia bergantung pada BAGAIMANA cara anda menghadapi situasi tersebut kerana setiap individu yang kita hadapi tidak sama (isteri, anak, majikan dan masyarakat lain).

Apa salahnya kalau kita mampu melambatkan sedikit pergerakan kita yang boleh menyebabkan orang lain dan diri kita sendiri boleh menjadi tenang? Apa salahnya? Antaranya:
1.    Bertentang  Mata:
Sebenarnya  Tuhan telah menganugerahkan mata yang sangat indah kerana darinyalah dapat dikenalpasti isi hati atau apa yang sedang difikirkan oleh seseorang. Mereka yang bertentangan mata ketika bercakap akan mewujudkan ‘satu perhubungan dan rasa yang tenang’ dengan situasi waktu itu Pelanggan akan dapat merasai bahawa dirinya dihargai dan sedang mendapat perhatian ketika itu. Dan mereka juga mahu mengekspresikan bahawa mereka sendang mendengar dan sedang memberi fokus terhadap topik yang diperbincangkan ketika itu.
            

2.       Berpeluk Tubuh  atau Menyilang Kaki: 
Perlakuan ini boleh menyebabkan kita dianggap sebagai seorang yang sombong, keras hati, tak boleh diajak berunding, defensive atau berfikiran tertutup.

                       
3.       Bahu Dalam Keadaan Tenang: 
Jika anda terasa tension, ia disalurkan ke bahu anda. Jadi, redakannya dengan menggerak-gerakkannya sedikit bahu itu dan selepas itu kembali kepada posisi asalnya.

4.       Mengangguk Sekali Sekala : 
Perlakuan ini jelas membayangkan bahawa kita memahami situasai, sedang bersama dengannya atau menjelaskan kepada mereka bahawa kita sedang mendengar tetapi INGAT! Jangan mengangguk seperti Burung Belatuk!

5.       Mengusap Muka: 
Perlakuan ini boleh mempamerkan dalaman kita yang sedang gugup, serbasalah dan ketakutan dan ia akan mengganggu perjalanan perbualan.

6.       Menundukkan Kepala: 
Jangan memandang lantai. Perlakuan ini akan mempamerkan bahawa kita adalah seorang tidak selamat, rendah dan tiada keyakinan diri, penakut dan amat tidak berminat, bosan dan ambil mudah.

7.       Jangan Berdiri Terlau Dekat: 
Beri ruang kepada orang yang bercakap. Biar dia rasa selesa.


Komunikasi Kaedah 7C

Fikirkan seberapa banyak anda berkomunikasi setiap hari sama ada mengendalikan mesyuarat, berbalas e-mel, urusan perniagaan, pengurusan keluarga dan urusan kerjaya yang lain, kerana kita sememangnya ‘makhluk komunikasi’. Jadi persoalannya, bagaimana kita mampu meningkatkan hasil kerja dan potensi melalui kemahiran komunikasi yang efektif? Inilah di antara ciri-ciri individu terhebat dunia di mana mereka mampu berkomunikasi dengan hebat serta memukau sehingga apa yang di sebut oleh mereka menjadi pegagangan sesetengah di kalangan kita. 

Kali ini E-Class Training Centre ingin berkongsi kaedah komunikasi 7C dalam memantapkan kemahiran komunikasi harian kita.
1-      Clear (Jelas)
2-      Concise (Ringkas)
3-      Concrete (Teguh)
4-      Correct (Betul)
5-      Coherent
6-      Complete (Lengkap)
7-      Courteous (Sopan)
1 – Clear (Jelas)
Apabila kita menulis atau bercakap pada seseorang pastikan ianya jelas dalam menyampaikan maksud sebenar mesej yang kita berikan. Secara mudah untuk menjadikan ia jelas, kurangkan terlalu banyak idea atau yang berbentuk fakta dalam satu pernyataan.Pastikan ia mudah untuk difahami.

2 – Concise (Ringkas)
Gunakan bahasa yang ringkas serta dapat difahami oleh pelbagai peringkat. Pendengar atau pembaca akan mudah bosan dengan kata-kata yang terlalu padat dan berat sedangkan maksudnya sangat ringkas. Akan tetapi elakkan dari memendekkan perkataan seperti (mkn : Makan/yg : Yang/kmane : Ke Mana) dalam urusan rasmi kerana ia akan menampakkan keperibadian kita sendiri.

3 – Concrete (Kukuh)
Apabila mesej anda kukuh iaitu beserta bukti yang tepat akan meyakinkan pendengar atau audien tentang gambaran sebenar apa yang cuba anda sampaikan.
Contoh 1 : Jika anda penjual produk bekas makanan serbaguna, mungkin ayat yang digunakan ialah “Jimatkan masa penyediaan makanan bagi anak-anak anda dengan bekas makanan serbaguna!Tak perlu lagi pinggan sewaktu sarapan!”

Sekali baca nampak satu promosi yang menarik, namun masih belum jelas dan kukuh dari segi realitinya.

Contoh 2 : Berapa lama masa yang anda perlu bagi menyediakan sarapan anak-anak anda di saat anda juga sibuk bersiap ke tempat kerja? Kami anda jalannya bagi membantu anda! Mudah, Cepat dan Bersih! Gunakan Bekas makanan Serbaguna!

4 – Correct (Betul)
Setiap penyampaian anda dapat difahami oleh semua golongan dan tepat pada individu sasaran sama ada dewasa atau remaja mahupun golongan korporat. Kegagalan dalam memahami keadaan audien akan menyebabkan kita kelihatan ‘syok sendiri’ atau ‘paham hanya dia’. Jadi untuk mengelakkan hal ini dari berlaku maka perlu dikenalpasti siapa dan apa tahap pendidikan mereka.

5 – Coherent (Logik dan Bersesuaian)
Bagi setiap isi penyampaian mestilah logik dan ada perkaitan di antara fakta dan contoh-contoh yang diberikan. Jiak tidak ia akan kelihatan janggal serta tidak munasabah.

6 – Complete (Lengkap)
Mesej yang lengkap ialah yang memenuhi kehendak pendengar sama ada melalui kefahaman, kejelasan dan cara ia disampaikan. Selain itu ia juga mengandungi unsur galakan dan dorongan positif pada pendengar bagi bertindak dan lakukan dengan penuh yakin.

7 – Courteous (Sopan)
Komunikasi ini lebih bersifat persahabatan,terbuka dan jujur tanpa ada perkara yang diselindungkan. Ia juga lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan sebenar seperti memahami, empati dan belas ihsan.



Sunday, 22 January 2012

KEINDAHAN DARI KESUSAHAN

Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekuatan yang berbeza. Sebab itulah tiada manusia diciptakan menjadi bodoh melainkan mereka memiliki kepandaian yang berbeza sama ada dalam pelajaran atau kemahiran tertentu. Apabila seseorang manusia itu lahir bersama kekuatan pasti cabaran akan mengiringinya seperti kata Ustaz Mansor iaitu guru saya ketika sekolah menengah dahulu dengan katanya ‘Bila adanya kekuatan pasti ada cabaran’. Inilah yang membezakan di antara manusia yang berjaya dan tidak berjaya kerana ia bermula dari cara manusia itu berfikir.

Cuba perhatikan dan amati kata-kata orang berjaya terhadap cabaran dan kepayahan yang dilalui mereka untuk menuju kejayaan, pasti kata mereka tanpa cabaran maka tiadalah kekuatan. Begitu berbeza sekali cara berfikir manusia berjaya jika dibandingkan dengan manusia  gagal yang hanya mengeluh, menyesal dan sering menyalahkan sana sini menjadi punca kegagalannya seperti lagu ‘Bangau oh Bangau’ yang tak sudah-sudah memberi alasan dan menyalahkan pihak lain sebagai punca.

Manusia berjaya selalu memberi result (jawapan/jalan) manakala manusia gagal pula selalu memberi reason (alasan/sebab) yang berbentuk menyalahkan. Kerana itulah cara mengendalikan kekuatan sedia ada bagi menghadapi segala cabaran adalah dengan mengendalikan cara berfikir yang positif, dinamik dan oportunis (melihat peluang) terlebih dahulu. Manusia cemerlang memahami setiap aturan Tuhan baginya seperti firman Allah S.W.T “Dan boleh jadi apa yang kamu benci itu baik bagi kamu, dan boleh jadi juga apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu. Dan Allah itu Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui apa-apa.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Ilmu yang dimiliki manusia sangat singkat berbanding ilmu Allah S.W.T, jika sesuatu menimpa kita mungkin dengan pandangan jahil kita mengatakan bahawa Tuhan itu zalim atau tidak adil terhadap hambanya, sedangkan yang menimpa itu adalah sangat terbaik bagi kita sebagai satu didikan terus dari Allah S.W.T. Mungkin pada pandangan kita dibuang kerja atau perniagaan semakin merosot sebagai tanda ketidakadilan        Tuhan sedangkan manusia berjaya seringkali memandang bahawa Allah S.W.T sedang mengajarnya erti menghargai kerja dengan disiplin yang tinggi dan menjaga hubungan baik sesama rakan sekerja. Perniagaan merosot pula mungkin juga dia sedang di’ajar’ oleh Allah S.W.T tentang kewajipan dan strategi yang dilupakannya sebagai usahawan.

Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta.

Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari(cepat).” Hadith Qudsi Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seringkali saya terbayang-bayang perumpamaan hidup kita terhadap kepayahan yang diterima seperti seorang anak kecil yang demam panas menjerit-jerit mengatakan “Ibu jahat! Ibu tak sayang saya!” apabila dia disuruh ibunya untuk makan ubat yang sememangnya pahit. Pada pandangan anda para pembaca sekalian, adakah si ibu yang melahirkan dan bersusah payah membesarkan anaknya benar-benar jahat dan tak sayangkan anaknya sendiri? Ya, naluri anda mampu menjawabnya dengar jujur bahawa kerana si ibu sayangkan anaknya yang demamlah membuatkan si ibu memaksa anaknya untuk makan ubat walaupun pahit, manakala si anak masih kecil dan belum mengerti hakikat sebenar ubat yang bertujuan untuk menyembuh dan kemampuan berfikir si anak belum matang dalam melalui kepahitan demi kesihatan.

Begitulah kadangkala sikap manusia pasif yang belum matang dalam menilai erti kesusahan dan kepayahan. Bagi manusia pro aktif dan cemerlang pula kepayahan dan kesusahan adalah kekuatan untuk bangkit menyerlahkan kekuatan sedia ada untuk mencapai apa yang diimpi. Seorang peserta saya berbangsa India berkongsi pandangannya yang cukup memberi makna mendalam pada saya , katanya “Ramai manusia berdoa agar diringankan kesusahan hidup tapi tak ramai manusia berdoa agar dikuatkan jiwa dan semangat menghadapi hidup!”.

Oleh itu ayuh perbetulkan cara fikir kita terhadap kesusahan hidup dan fokus pada kekuatan yang harus dijanakan sedaya mungkin agar mampu melonjakkan kita ke tahap cemerlang maksimum. Hadapi susah untuk menyerlah pantang mengalah kerana kita sememangnya bertuah!


Monday, 9 January 2012

KEINGINAN DAN KEMESTIAN


Setiap kali menjelangnya tahun baru sesiapa sahaja pasti akan terasa debarannya lebih-lebih lagi untuk merancang dan melakukan sesuatu yang terbaik bermula dari awal tahun. Namun yang seringkali menjadi tanda tanya pada kita ialah mengapa segala yang diazam dan dirancang hanya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja kemudian kembali seperti biasa, kerja biasa, perangai biasa dan hasil yang biasa tanpa sebarang peningkatan!

Maksud hadis Nabi Muhammad S.A.W Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka

Betapa Nabi Muhammad S.A.W menginginkan umatnya menjadi umat yang sentiasa ada perubahan dan peningkatan pada diri terutamanya pada kekuatan dalaman (spiritual, emosi dan intelek). Pernah saya bertanya pada peserta-peserta kursus tentang siapa di kalangan anda yang bersedia untuk menerima kelemahan diri dan seterusnya memperbakinya? Boleh dikatakan semua mengangkat tangan dengan yakin, soalan saya yang seterusnya siapa pula di kalangan anda yang bersedia untuk mengubah diri dalam tempoh seminggu dari sekarang? Semuanya kelihatan memandang satu sama lain seakan-akan ragu-ragu terhadap diri sendiri.

Ini bererti apa yang dijawab oleh mereka pada awal tadi mungkin hanya sekadar ‘menyedapkan hati’ saja, hakikatnya hanya diri sendiri yang tahu! Ramai di kalangan kita yang mempunyai keinginan yang tinggi dan tak habis-habis, namun cabarannya ialah mampukah kita menyerapkan kekuatan ‘mesti’ dalam diri untuk mencapai keinginan kita?

Sudah tiba masanya untuk mengubah segala yang ‘patut’ kepada ‘mesti’ bagi setiap yang diingini. Ini kerana istilah patut hanya satu bentuk perancangan yang kadangkala menjadi angan-angan kosong, berbanding istilah mesti yang lebih kepada dorongan kuat untuk dilaksanakan. Sebagai contoh :-

1)     “Saya patut kurus dan tak nak gemuk lagi”
2)     “Saya mesti kurus pada tahun 2012 untuk kelihatan segak dan bergaya”

Cuba perhatikan ayat  pertama yang lebih kepada satu bentuk keinginan tanpa spesifikasi (menjurus tepat) pada bila, dan untuk apa ingin kurus. Manakala ayat yang kedua merupakan satu dorongan kuat yang menjadi kemestian dan lebih fokus pada bila serta mengapa ingin kurus.

Inilah di antara faktor kegagalan sebahagian dari kalangan insan-insan yang merancang di awal tahun namun azamnya terkubur di tengah jalan hanya tinggal diari yang penuh dengan berbagai perancangan. Ada 6 kaedah utama yang mesti mengiringi setiap azam dan perancangan kita.

1)     Mesti mengenalpasti kelemahan diri tahun lepas dan menerimanya untuk diperbaiki?
2)     Mesti mengetahui apa sebenarnya yang kita mahukan pada tahun ini?
3)     Mesti tahu mengapa kita mahukannya?
4)     Mesti merancang yang berbentuk mingguan dan bulanan?
5)  Mesti berbincang dengan pihak yang lebih arif untuk mendapat pandangan berkenaan apa dirancang.
6)     Mesti bertindak sekarang (kerana masa yang ada hanya sekarang)!! Time = Action

Lakukan sekarang sekurang-kurangnya 3 tindakan awal untuk merealisasikan impian besar kita kerana pepatah Inggeris ada mengatakan “Yesterday is  history, Tomorrow is mystery and Today is destiny” yang bermaksud semalam adalah sejarah, esok belum tahu, dan hari inilah penentuan masa depan. Sebagai contoh kita ingin memulakan perniagaan maka langkah pertama daftarkan syarikat anda terlebih dahulu dan ini membuatkan minda akan terus menetapkan satu kemestian untuk menjalankan perniagaan.

Langkah kedua sertai mana-mana kursus motivasi keusahawanan dan teknik-teknik pemasaran untuk memberikan semangat dalaman pada kita dari segi keyakinan untuk menjalankan perniagaan. Langkah ketiga mula berkenalan dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa tanpa segan silu memasarkan produk anda. Namun yang sering diingatkan oleh mentor-mentor saya ialah mesti banyak membaca (tidak termasuk suratkhabar) untuk meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kita.

Perlu diingat bahawa satu kajian yang dilakukan di Purdue Universiti Amerika Syarikat mendapati apabila kita membaca sesuatu bahan hanya sekali, dalam tempoh 2 minggu hanya 2% saja dari apa yang dibaca dapat diingat. Walaubagaimanapun jika kita membaca bahan yang sama seminggu kemudian dengan lebih kerap sekurang-kurangnya 6-10% kita akan ingat.   

Oleh itu perubahan dan kemajuan bukan lagi satu keperluan akan tetapi satu kemestian!

Thursday, 15 December 2011

KUALITI KEHIDUPAN


Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kepercayaan yang berbeza, namun memiliki kemahuan yang sama antaranya hidup yang berkualiti. Segala-gala yang bakal dimiliki atau sedang dimili semuanya diharapkan dalam keadaan berkualiti. Barang berkualiti, kerjaya berkualiti, rakan-rakan berkualiti, mak dan ayah berkualiti, anak-anak berkualiti dan boleh dikatakan dunia yang berkualiti!

Seringkali saya terfikir bagaimana ingin mewujudkan hidup yang berkualiti dengan dikelilingi oleh insan-insan yang cukup baik serta suasana mendamaikan ini? Sehingga saya teringat akan hadis diriwayatkan dari Jabir berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang beriman itu bersikap ramah dan tiada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” (HR. Thabrani dan Daruquthni). Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa dunia akan dan suasana akan menjadi berkualiti dengan wujudnya manusia bermanfaat(berkualiti).

Oleh itu proses mewujudkan dunia yang diidamkan bermula dari kualiti manusia itu sendiri dan kualiti manusia itu pula ditentukan bagaimana cara perhubungannya di antara satu sama lain (komunikasi positif). Namun proses komunikasi yang positif juga harus bermula dari sikap atau perilaku yang positif dan yang paling asas sekali dalam pembentukan kualiti kehidupan adalah sistem kepercayaan dalaman diri seseorang manusia itu yang menentukan keberhasilan atau kualiti hidupnya. Secara ringkasnya :


              Kualiti Dunia
                    
                 Kualiti Manusia 
                                
                               Kualiti Perhubungan

   Kualiti Sikap

                                Kualiti Kepercayaan Dalam Diri

Kisah kejayaan Steve Jobs sebagai contoh banyak membawa pengertian kepada kita bahawa kualiti kepercayaan dalam diri mampu membangkitkan seseorang menjadi yang terbaik di dunia ‘top of the world’ ! Bemula pada tahun 1976, bersama rakannya Steve Wozniak, jobs yang baru berusia 21 tahun mulai mendirikan Apple Computer Co. di garaj kereta milik keluarganya. Dengan susah payah mengumpulkan modal yang diperolehi dengan menjual barang-barang mereka yang paling berharga, usaha itupun dimulai. Komputer pertama mereka, Apple I berhasil mereka jual sebanyak 50 unit kepada sebuah kedai tempatan.

Dalam beberapa tahun, usaha mereka cukup berkembang pesat sehingga tahun 1983, jobs melantik John Sculley dari Pepsi Cola untuk memimpin bisnes itu. Sampai sejauh itu, Appel Computer menuai kejayaan dan pengaruhnya dalam industri komputer  bertambah popular dengan pelancaran komputer peribadi Apple Macintosh. Namun, pada tahun 1985, setelah berlaku konflik dengan Sculley, Apple Computer telah memutuskan memberhentikan pengasas mereka sendiri, iaitu Steve Jobs. Cuba kita bayangkan bagaimana perasaanya ketika itu, bersusah payah bertahun-tahun membangunkan syarikat hari ini diberhentikan! Tetapi itulah yang dikatakan kualiti kepercayaan mengatasi segala bentuk perasaan yang mengecewakan.

Setelah menjual sahamnya, Jobs banyak menghabiskan waktu dengan berbasikal  dan berhijrah ke Eropah. Namun , tidak berapa lama selepas itu,, pemecatan tersebut rupanya membawa semangat baru bagi dirinya. Beliau memulakan satu perniagaan baru iaitu membina komputer NeXT dan menceburi perniagaan animasi melalui syarikatnya Pixar. NeXT yang sebenarnya sangat maju dalam bidang teknologinya ternyata tidak membawa hasil yang baik. Akan tetapi, Pixar adalah sebuah kisah sukses lain berkat tidea dan kepercayaanya yang membara. Melalui produksinya animasi 3D pertama Toy Story dan selanjutnya Finding Nemo dan The Incredibles.

Sepeniggalan Jobs, dominasi IBM dan Microsoft dalam pasaran komputer begitu ketara sekali membuatkan Apple kalah bersaing dan nyaris ‘gulung tikar’. Maka, tahun 1997, Jobs dipanggil kembali untuk mengisi posisi peneraju Apple secara sementara. Dengan mengaplikasi teknologi yang dirancang di NeXT, kali ini Apple kembali bangkit dengan pelbagai produk berteknologi maju seperti MacOS X, Imac dan salah satu yang paling unggul ialah iPod dan iPhone.

Kisah kejayaan Steve Jobs mengajarkan kepada kita bahawa walaupunpun tidak pernah menamatkan pembelajarannya di Reed College, beliau menjadi seorang yang paling berjaya dan seorang yang inovatif dalam industri komputer sekarang ini berasaskan kualiti kepercayaanya maka lahirlah kualiti pada dunia!


Tuesday, 29 November 2011



Kita sering mendengar malah kita sendiri amat gemar menggunakan alasan ini. 
"Saya adalah seorang yang lemah".
"Saya tidak mampu kerana saya lemah." 
"Maafkan saya, kerana kelemahan saya ini"

Dari satu sudut, anda sudah mengaku secara jujur akan kelemahan diri. 
Kemudian apa tindakan selanjutnya? 
Adakan hanya mengakui dan meletakkan kesalahan atas kelemahan tersebut, maka terlepaslah rasa bersalah? 
Selesaikah segala masalah yang dihadapi? 

Kenapa tidak menggali kelemahan itu? Kaji dan analisa kembali. 
Adakah kelemahan itu bersifat kekal dalam diri dan tidak boleh diubah atau dibetulkan? 
Kenapa kelemahan itu menjadi sebahagian dari hidup kita? 
Apa yang menyebabkan kelemahan itu terus melekat dalam diri? 
Adakah kita terlalu selesa dengan kelemahan itu? 

Ketemukan diri sendiri, 
Jujurlah pada diri sendiri
Bertanya, adakah aku akan terus menerus begini?

Atau

Aku benar-benar mahu membaiki kelemahan
Benar-benar mahu menjadi yang lebih baik
Bersungguh-sungguh mahu mengapai sebuah kejayaan
Berazam dengan penuh semangat bahawa  

Aku 

tidak mahu berlengah lagi
tidak mahu bertangguh lagi 
inilah masanya, manfaatkan sepenuhnya
merancang dengan hati-hati
teliti bila melaksanakannya
belajar, menimba ilmu secukupnya
mengambil iktibar dari kesilapan


Daftar sekarang dengan melayakkan diri anda sebagai JUARA!!!

Monday, 28 November 2011

PENGALAMAN ATAU PENGULANGAN ?



Bekerja adalah sebahagian daripada sebuah kehidupan untuk memenuhi keperluan hidup, membina karisma diri, melebarluaskan perkhidmatan, dan perkembangan diri agar meningkat lebih baik. Ramai di kalangan para pekerja tidak kira sama ada bekerja sendiri, swasta atau penjawat awam yang memandang kerja hanya sekadar kerja tidak lebih dari itu. Sedangkan orang-orang berjaya melihat kerja lebih jauh dari sebuah pekerjaan.


Kerana itulah istilah kerjaya itu sebenarnya gabungan dari 2 perkataan iaitu ‘kerja + berjaya’, bererti setiap kerja itu bermatlamatkan kejayaan bukan hanya semata-mata gaji! Seringkali kita terdengar suara-suara yang menyatakan dengan bangganya “Saya dah kerja dalam bidang ni 20 tahun dah, tak payah nak ajar saya, tempat ni dah macam padang permainan saya!”kata suara-suara tersebut. Cuba kita teliti semula apa yang dikatakan tadi, 20 tahun bekerja??Adakah benar dia mempelajari sesuatu dari kerja yang dilakukannya selama 20 tahun tersebut?

Robert T. Kiyosaki berkata, “Carilah pekerjaan yang memungkinkan anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak”. Rata-rata yang pernah saya jumpa sebenarnya mereka hanya mengulang-ulang kerja tersebut tanpa sebarang peningkatan dalam kualiti kerja mereka dan ada yang makin merosot, apa yang boleh dibanggakan hanyalah tahun bekerja bukannya peningkatan kerja! Ini bererti kalau 20 tahun bekerja mungkin 1 atau 2 tahun sahaja yang seseorang itu belajar dan meningkatkan kualiti kerjanya, selebihnya 19 tahun itu hanya ulang perkara yang sama setiap hari dan setiap tahun!

Kerjaya ini terbahagi kepada 3 kumpulan besar, iaitu occupation, profession, dan vacation. Occupation bererti seseorang yang bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya (mungkin 8 hingga 5) dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji). Jenis pekerja sebegini hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanan yang diterima secara tetap sudah memadai baginya, jenisnya tidak menghiraukan bagaimana nasib syarikat dan kerjayanya. Apa yang dipentingkannya adalah “Adakah bulan depan masih boleh menerima gaji?” Mereka yang berada pada tahap ini di panggil sebagai Pekerja semalam, hari ini dan esok sama sahaja, atau Pekerja Tanpa Prestasi (PTP)!

Professional pula ialah mereka yang tidak hanya bekerja bagi menunaikan kewajipan dan tugas harian semata-mata, tetapi juga berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan pekerjaanya. Di tahap ini mereka terus menempa namanya dengan melakukan sebaik mungkin agar hari ini lebih baik dari semalam, kerana baginya tidak ada waktu yang terbuang, bahkan apabila kerjanya selesai dia bersedia untuk membantu rakan yang lain menyiapkan tugasan mereka. Berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Walaubagaimanapun tahap tertinggi personaliti dalam kerjaya ialah vacation. Mereka yang berada pada tahap ini sebenarnya bukanlah bermaksud bercuti (seperti makna asalnya iaitu vacation = bercuti) tetapi mereka ini tidak lagi terlalu mementingkan apa yang akan diperolehi namun lebih kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain. Maksudnya ‘bercuti’ dari kepentingan diri dan peribadi sehinggakan rela melepaskan kedudukan dan kerjayanya demi kepentingan orang lain. Seringkali saya diingatkan bahawa pekerjaan adalah suatu usaha untuk memperoleh hasil (result) disertai kepuasan dan pemberian.

Jenis Kerjaya
Ciri-ciri
Occupation
Bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji) dan hanya mementingkan gaji semata-mata
Professional
Berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Vacation
Lebih mementingkan kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain

Masih teringat keratan dari sebuah majalah yang menceritakan tentang kejayaan seorang lelaki tua yang merupakan seorang duda setelah kematian isterinya akibat kanser servik 10 tahun lalu dalam keadaan membesarkan anak-anaknya seramai 9 orang. Kerjanya hanyalah sebagai tukng kebun di sebuah sekolah. Hari ini semua anak-anaknya telah berjaya melakar nama dengan kejayaan masing-masing hasil usaha tangan seorang lelaki tukang kebun. Apabila ditanya apakah rahsianya membesarkan anak-anak beliau menjawab “Keikhlasan dalam bekerja”.

Katanya ikhlas bekerja bukanlah bermaksud tidak mengambil upah, tetapi melakukan sesuatu dengan amanah, sungguh-sungguh dan kreatif. Baginya keindahan suasana persekitaran sekolah sangat penting untuk wujudkan rasa seronok untuk belajar dan mengajar di kalangan guru dan murid. “Setiap hari pakcik akan fikir sorang-sorang bagaimana untuk mengindahkan lagi kawasan sekolah ini, mudah-mudahan berkat kreativiti pakcik untuk menyenangkan hati pihak sekolah akan dibalas pahala oleh Allah S.W.T” katanya dengan penuh pengharapan. 

Inilah di antara contoh kekuatan dalam peningkatan kerjaya yang harus dipandang luarbiasa, ayuh! Bangkitkan jiwa pejuangan kita demi insan lain kerana sebaik-baik ciptaan harus menjadi sebaik-baik pemberi!

Sunday, 20 November 2011

ANUGERAH PELUANG


Antara perkara yang sangat berharga dalam hidup ini adalah peluang. Dalam tak sedar hidup juga sebuah peluang, segala yang berlaku dalam hidup juga sebuah peluang, meluangkan masa untuk membaca artikel ini juga sebuah peluang!! Tidak semua orang menyedari akan hakikat peluang, namun bagi insan-insan yang tahu apa yang dimahukan dalam hidupnya sentiasa bijak mencipta peluang. 

Seperti kata bijak pandai orang lemah mensia-siakan peluang, orang biasa melihat peluang, orang berjaya menggunakan peluang dan orang yang berjiwa juara mencipta peluang. Setiap manusia diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna dalam hidup sama ada untuk Allah, diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.


Peluang Datang   +   Niat yang Baik  + Tindakan yang Positif  =  Hasil yang Bermakna

Seperti di dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W ‘’Ada dua kenikmatan yang menyebabkan ramai manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari). Menerusi hadis ini Nabi Muhammad S.A.W ingin mendidik kita agar memanfaatkan ‘nikmat’ yang jarang-jarang manusia nilai ia sebagai nikmat.

Jelas terbayang dalam fikiran saya di saat berbual-bual dengan arwah ayah yang juga merupakan seorang bilal di sebuah masjid di Kedah, kata ayah “Bila waktu sihat ayah rasa seronok sangat nak bercucuk tanam, beribadat, berjamaah di masjid, tapi bila tak berapa sihat lagi rasa seronok nak buat tu semua sebab bila sakit kita dapat dua pahala satu pahala buat amalan satu lagi pahala bersyukur dengan sakit yang diberi sebab melatih kita lawan hawa nafsu” dengan nada yang sangat berkobar-kobar. Itulah dia sifat dan pegangan arwah ayah yang  selalu membangkitkan semangat dalaman diri ini untuk menghargai anugerah peluang.

Kadangkala menitis air matanya bila berbicara  lebih-lebih lagi dalam soal kesempatan hidup yang Allah berikan ini hingga pernah terlintas di bibirnya “ Agak-agak layak ke kita semua sekeluarga nak berjiran dengan Nabi Muhammad S.A.W di syurga nanti sedang peluang hidup untuk berbakti dan beribadat ni kita abaikan?” sungguh jauh harapan dan impiannya.

Allah menjadikan masa selama 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan kehidupan. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara yang penting seperti kata Stephen R. Covey First Thing First iaitu Mengutamakan yang Utama. Namun bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara yang lain adalah dengan memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagi-bahagikan masa yang ada dengan efektif.

Jika kita teliti kehidupan para sahabat r.a, mereka memaksimumkan peluang masa muda dan sihat sebelum datangnya waktu tua. Khalid al-Walid sebagai contoh menjadi tentera yang berjuang  semenjak usianya belasan tahun lagi, begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Namun yang mengagumkan dari kalangan yang tua ialah Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang hanya kerana usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah. Pernah juga saya terbaca kisah-kisah hebat pemuda-pemuda yang berjiwa besar walau bertubuh sederhana seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menakluk constantinople (hari ini Istanbul) dan Tariq bin Ziyad yang berjaya menakluk Andalusia(Sepanyol).

Kerana itulah insan berjaya sentiasa menghargai peluang, mereka memandang setiap kepayahan kesusahan dalam hidup merupakan sebuah peluang untuk belajar sesuatu dari apa yang dilalui, namun orang lemah seringkali bersikap pasif dan reaktif dengan menyalahkan takdir tiap kali kesusahan menimpa. Antara pesan guru saya tiap kali kepayahan atau musibah melanda cuba latihkan diri dengan menghindarkan diri dari 3M iaitu Mengeluh, Menyesal, menyalahkan. Inilah antara tabiat manusia pasif atau lemah, seringkali mengulang-ulang 3M tersebut hingga akhirnya ia menjadi program diri yang bakal membawa kegagalan dalam hidup.

Sebagai seorang suami, jadikan peluang berumahtangga ini sebagai proses pembelajaran, maksudnya bersedialah untuk mengajar dan diajar bersama isteri dan anak-anak. Bukankah pepatah Inggeris ada mengatakan when you stop learning you stop leading! Apabila anda berhenti belajar maka anda sudah berhenti dari memimpin. Ini menunjukkan peluang memimpin itu adalah peluang untuk belajar. Apa akan terjadi apabila seorang anak menegur perbuatan ayahnya yang lupa menutup suis lampu bilik air, selalunya jika kita perhatikan segelintir di kalangan ayah yang melenting atau memarahi semula anaknya dengan alasan budak-budak tak baik menegur orang tua. Walaubagaimanapun bagi ayah yang mengambil peluang ini sebagai satu pelajaran maka wujudlah suasana harmoni di dalam rumahtangga di mana ayahnya mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberi.

Ciptalah peluang untuk membaiki diri dan insan-insan di sekeliling kita agar mereka merasai anugerah peluang kerana inilah peluang bagi anda memulakan langkah menuju kejayaan! 

Thursday, 17 November 2011

HANYA KERANA SEDIKIT

Sejak kecil kita sentiasa diingatkan untuk menyimpan duit, kata ibu “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”, nak mengajarkan pada kita dengan tabiat menyimpan bermula dengan sedikit itu akan membuahkan hasil yang lumayan kelak di masa hadapan. 

Kita juga diingatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W menerusi sabda baginda , “Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit”, inilah di antara formula insan-insan berjaya di atas muka bumi ini di mana mereka menjadikan ‘soal sedikit’ itu sebagai rutin atau tabiat yang akhirnya menjadikan mereka manusia yang sangat cemerlang. Oleh itu cuba kita perhatikan pada diri,apakah perkara-perkara kecil atau sedikit yang sering diamalkan hingga kita menjadi manusia yang dihormati atau paling dibenci hari ini sama ada di tempat kerja, rumahtangga, dan masyarakat?

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda bahawa, “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat buat insan lain”,ini bererti setiap proses kecemerlangan bermula dari sedikit kesedaran untuk melebarluaskan manfaat diri buat orang lain. Namun masih ramai di kalangan kita termasuk saya yang masih lagi belum sedar akan beberapa sikap dan tabiat yang sedikit kita lakukan hingga menjadi penghalang kejayaan diri, mungkin hanya dengan kita merubah atau membetulkan yang sedikit itu pasti kita berjaya beroleh kecemerlangan yang diimpi.

Saya masih ingat kisah seorang sahabat saya yang baru belajar bermain golf, seumur hidup tak pernah dapat peluang main golf apatah lagi pegang kayu golf! Sewaktu tengah berlatih di padang golf, dia seringkali rasa tertekan kerana tiap pukulannya tak berjaya memasuki lubang yang jaraknya tak berapa jauh! Oleh kerana semangatnya berkobar-kobar untuk mencuba maka berulang kali dipukulnya sehinggalah gelagatnya diperhatikan seorang pemain golf yang berpengalaman yang berada berhampirannya. 

Kata pemain berpengalaman itu, “Cuba awak ubah sedikit cara pukulan awak”, sahabat saya masih tak faham, “Maksud saya jika awak pukul dengan cara yang sama 10tahun lagi pun belum tentu bola golf itu akan masuk ke dalam lubang!”kata pemain berpengalaman itu.Sangat mendalam maksud kata-katanya untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian kita. Kadangkala kita lebih selesa dengan cara lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah sedangkan kita jarang terfikir untuk membuat sedikit kelainan dalam menyelesaikannya. Akhirnya sahabat saya mencuba dengan cara pukulan yang berlainan setiap kali pukulan dan barulah dia berjaya memasukkan bola golf ke dalam lubang.

Beginilah dalam kehidupan sebenar kita, seringkali apa yang kita percaya atau bluprint minda membawa ke arah tindakan sama ada dapat memajukan diri atau sebaliknya. Seorang ayah berkongsi kisah tentang keluarganya yang boleh kita ambil pengajaran bersama, dia seorang ayah yang sangat tertekan dengan sikap anak-anaknya yang degil dan tak hormat cakap orang tua, sedangkan sejak kecil diberi pelajaran diajar supaya hormat menghormati dalam keluarga.

Saya terdiam seketika memikirkan apa yang boleh saya bantu, lalu saya tanya pada ayah tersebut, “Hingga ke saat ni, apa pandangan encik terhadap sikap anak-anak encik?”, dia menjawab dengan nada mengeluh, “Saya nampak anak saya tak boleh diubah, sebab dia degil sangat-sangat sebab ikut kawan”, saya tersenyum kerana seakan-akan jalan penyelesaian semakin hampir.

“Agak-agak encik, kawan-kawan dia mampu ke mengubah anak encik?” saya memberi sedikit pembuka jalan, “Emmm mungkin sebab dia lebih suka dengan kawan-kawan dia jadi mudahlah kawan-kawan mengubah dia” menegaskan jawapannya. Saya dapati air mukanya sangat berharap anak-anaknya dapat kembali pada fitrah asal mereka. “Encik, berdasarkan apa yang encik kongsikan dengan saya tadi, apa kata encik cuba ubah sedikit cara memandang (fokus) terhadap anak-anak encik, tadi encik kata anak saya tak boleh diubah, jika itu pandangannya maka encik akan terus berhenti dari menasihati, memberi teladan, berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak encik kerana itu fokus dalam minda encik, dan apa yang lebih teruk lagi encik meletakkan kuasa mengubah itu pada kawan-kawannya!!” saya cuba menampakkan isu sebenar yang harus dia tahu. 

Dia mula termenung, “Jadi apa yang harus saya buat ialah membetulkan sedikit cara pandang (fokus) saya pada anak saya?” seakan-akan akur dengan pandangan saya tadi, “Ya itulah yang sebaik-baiknya” jawab saya.

Oleh kerana itulah kadangkala dalam hidup ini hanya dengan mengubah sedikit perkara sahaja yang ada dalam minda dan perasaan kita mampu membawa kita jauh dari apa yang sangka seperti slogan program motivasi Anda Juara anjuran syarikat Eclass Training ‘Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa’!!

Thursday, 3 November 2011

Harga Sebuah Pengorbanan

Pepatah Melayu ada mengatakan “Bila adanya cinta, di sana adanya pengorbanan”, “Tanpa pengorbanan mimpi tak bermakna”, “Setiap cita-cita mesti disusuli pengorbanan”. Inilah di antara kata-kata yang sering kita dengar yang nak mengambarkan betapa tingginya dan perlunya sebuah pengorbanan dalam setiap ruang hidup manusia, ada juga yang mengatakan  barangsiapa yang tidak berkorban pasti terkorban. Ini bererti setiap orang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Oleh kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan maka seharusnya kita menjadi sebaik-baik pemberi kepada agama,keluarga, masyarakat dan kerjaya.


Jika dilihat dari sudut bahasa arab korban adalah dari kalimah qaraba yang membawa maksud dekat, jadi apa kaitannya di antara pengorbanan dengan dekat? Apa yang dapat difahami di sini ialah pengorbanan adalah satu proses mendekatkan seseorang dengan seseorang yang lain.

                                                                Pengorbanan = Mendekatkan

Sebagai contoh seorang ibu yang berkorban untuk anak-anak maka hasilnya pengorbanan si ibu tadi akan mendekatkan atau merapatkan hubungannya dengan anak-anak. Seorang suami yang mengorbankan sedikit masa atau wang ringgit demi isteri dan  keluarga akan merasai nikmat semakin dekat dengan keluarga tercintanya. Seorang lelaki yang mengorbankan masa tidurnya untuk bangun di sepertiga malam kerana Allah akan terasa semakin dekat dengan rahmat dan rahim Allah Yang Maha Agung. Sorang anak yang mengorbankan masa kerjanya hanya semata-mata untk balik ke kampung menjenguk ibu yang keseorangan pastinya semakin dekat hati anak dan hati si ibu.

Alangkah indahnya dunia ini jika setiap dari kita menyuburkan rasa ingin berkorban demi mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Ayuh kita merenung sirah pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu bernama Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, adalah di antara lambang kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan ibu.

Benarlah kata mentor saya En. Khaeril Anuar yang berkata, “Di antara lambang pengorbanan seseorang pada keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya”. Walaubagaimanapun setiap pengorbanan perlu ada strategi tersendiri agar tidak terkorban di kemudian hari maksudnya setiap dari kita mempunyai komitmen atau tanggungjawab tersendiri,maka perlu bijak dalam mengimbangkan semuanya.

Saya masih ingat seorang peserta saya pernah menyuarakan berkongsi pandangannya mengenai erti pengorbanan. Dia menceritakan bahawa dia adalah seorang ibu yang sangat baik dan penyayang terhadap anak-anak, setiap keluhan dan kesedihan anak-anaknya sentiasa diberi perhatian seboleh-bolehnya dia mahukan senyuman sentiasa terukir di bibir mereka. Namun dalam keghairahan dia berkorban demi anak-anak dia terlupa bahawa dalam masa yang sama dia juga seorang isteri pada suaminya, dan lebih menyedihkan suaminya baru sahaja meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat memohon maaf atas kealpaanya selama suaminya masih hidup.

Dalam kursus yang sama juga seorang peserta lain juga dengan hati yang terbuka berkongsi kisahnya, dia seorang pekerja contoh dan seringkali mendapat jolokan ‘pekerja harapan malaya’ kerana setiap tugasan yang diberikan pasti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, hubungan dengan pekerja lain sangat baik sehinggakan ada yang berkata jika tak datang pejabat satu hari macam mendung suasana pejabat. Dia cukup berkorban demi kerjayanya, namun satu yang menyedihkan ialah dia gagal menjadi anak yang baik terhadap ibu dan ayahnya, dalam setahun boleh dikira berapa kali pulang ke kampung, atau jarang sekali menelefon hanya sekadar bertanya khabar.

Kerana itulah saya katakan pengorbanan perlukan strategi dan keseimbangan dalam menguruskannya. Bagaimana dengan hidup anda? Sudahkah anda berkorban sesuatu demi melihat insan yang anda kasihi tersenyum sentiasa? Bila kali terakhir anda berkorban? Selamat Hari Raya Korban!