Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts

Monday, 28 November 2011

PENGALAMAN ATAU PENGULANGAN ?



Bekerja adalah sebahagian daripada sebuah kehidupan untuk memenuhi keperluan hidup, membina karisma diri, melebarluaskan perkhidmatan, dan perkembangan diri agar meningkat lebih baik. Ramai di kalangan para pekerja tidak kira sama ada bekerja sendiri, swasta atau penjawat awam yang memandang kerja hanya sekadar kerja tidak lebih dari itu. Sedangkan orang-orang berjaya melihat kerja lebih jauh dari sebuah pekerjaan.


Kerana itulah istilah kerjaya itu sebenarnya gabungan dari 2 perkataan iaitu ‘kerja + berjaya’, bererti setiap kerja itu bermatlamatkan kejayaan bukan hanya semata-mata gaji! Seringkali kita terdengar suara-suara yang menyatakan dengan bangganya “Saya dah kerja dalam bidang ni 20 tahun dah, tak payah nak ajar saya, tempat ni dah macam padang permainan saya!”kata suara-suara tersebut. Cuba kita teliti semula apa yang dikatakan tadi, 20 tahun bekerja??Adakah benar dia mempelajari sesuatu dari kerja yang dilakukannya selama 20 tahun tersebut?

Robert T. Kiyosaki berkata, “Carilah pekerjaan yang memungkinkan anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak”. Rata-rata yang pernah saya jumpa sebenarnya mereka hanya mengulang-ulang kerja tersebut tanpa sebarang peningkatan dalam kualiti kerja mereka dan ada yang makin merosot, apa yang boleh dibanggakan hanyalah tahun bekerja bukannya peningkatan kerja! Ini bererti kalau 20 tahun bekerja mungkin 1 atau 2 tahun sahaja yang seseorang itu belajar dan meningkatkan kualiti kerjanya, selebihnya 19 tahun itu hanya ulang perkara yang sama setiap hari dan setiap tahun!

Kerjaya ini terbahagi kepada 3 kumpulan besar, iaitu occupation, profession, dan vacation. Occupation bererti seseorang yang bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya (mungkin 8 hingga 5) dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji). Jenis pekerja sebegini hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanan yang diterima secara tetap sudah memadai baginya, jenisnya tidak menghiraukan bagaimana nasib syarikat dan kerjayanya. Apa yang dipentingkannya adalah “Adakah bulan depan masih boleh menerima gaji?” Mereka yang berada pada tahap ini di panggil sebagai Pekerja semalam, hari ini dan esok sama sahaja, atau Pekerja Tanpa Prestasi (PTP)!

Professional pula ialah mereka yang tidak hanya bekerja bagi menunaikan kewajipan dan tugas harian semata-mata, tetapi juga berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan pekerjaanya. Di tahap ini mereka terus menempa namanya dengan melakukan sebaik mungkin agar hari ini lebih baik dari semalam, kerana baginya tidak ada waktu yang terbuang, bahkan apabila kerjanya selesai dia bersedia untuk membantu rakan yang lain menyiapkan tugasan mereka. Berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Walaubagaimanapun tahap tertinggi personaliti dalam kerjaya ialah vacation. Mereka yang berada pada tahap ini sebenarnya bukanlah bermaksud bercuti (seperti makna asalnya iaitu vacation = bercuti) tetapi mereka ini tidak lagi terlalu mementingkan apa yang akan diperolehi namun lebih kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain. Maksudnya ‘bercuti’ dari kepentingan diri dan peribadi sehinggakan rela melepaskan kedudukan dan kerjayanya demi kepentingan orang lain. Seringkali saya diingatkan bahawa pekerjaan adalah suatu usaha untuk memperoleh hasil (result) disertai kepuasan dan pemberian.

Jenis Kerjaya
Ciri-ciri
Occupation
Bekerja bagi menghabiskan waktu kerjanya dan mendapat sejumlah wang bila cukup bulan (gaji) dan hanya mementingkan gaji semata-mata
Professional
Berfikir bagaimana meningkatkan kualiti tugas dan berusaha terus menerus demi meningkatkan kecekapan diri hingga teguh ilmunya.

Vacation
Lebih mementingkan kepada apa yang terbaik akan mereka berikan kepada syarikat dan orang lain

Masih teringat keratan dari sebuah majalah yang menceritakan tentang kejayaan seorang lelaki tua yang merupakan seorang duda setelah kematian isterinya akibat kanser servik 10 tahun lalu dalam keadaan membesarkan anak-anaknya seramai 9 orang. Kerjanya hanyalah sebagai tukng kebun di sebuah sekolah. Hari ini semua anak-anaknya telah berjaya melakar nama dengan kejayaan masing-masing hasil usaha tangan seorang lelaki tukang kebun. Apabila ditanya apakah rahsianya membesarkan anak-anak beliau menjawab “Keikhlasan dalam bekerja”.

Katanya ikhlas bekerja bukanlah bermaksud tidak mengambil upah, tetapi melakukan sesuatu dengan amanah, sungguh-sungguh dan kreatif. Baginya keindahan suasana persekitaran sekolah sangat penting untuk wujudkan rasa seronok untuk belajar dan mengajar di kalangan guru dan murid. “Setiap hari pakcik akan fikir sorang-sorang bagaimana untuk mengindahkan lagi kawasan sekolah ini, mudah-mudahan berkat kreativiti pakcik untuk menyenangkan hati pihak sekolah akan dibalas pahala oleh Allah S.W.T” katanya dengan penuh pengharapan. 

Inilah di antara contoh kekuatan dalam peningkatan kerjaya yang harus dipandang luarbiasa, ayuh! Bangkitkan jiwa pejuangan kita demi insan lain kerana sebaik-baik ciptaan harus menjadi sebaik-baik pemberi!

Tuesday, 18 October 2011

Sentiasa Rasa Cukup

Salah satu sifat semulajadi manusia adalah tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada, kerana itulah Rasulullah s.a.w mengajar kita agar bersederhana dalam mencari dunia.Semakin rendah tahap spiritual kita, semakin rasa tidak cukup dengan apa yang kita miliki walaupun melimpah ruah.

Rasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang dimiliki kadangkala menyebabkan seseorang manusia itu bertindak terburu-buru tanpa pertimbangan akal dan iman. Seorang ahli falsafah memberi satu contoh dengan nada berjenaka tentang seorang pekerja. Sewaktu si pekerja baru diterima bekerja pertanyaanya sehari-hari adalah “Hari ni kita makan apa ya?”

Selepas diangkat menjadi pekerja tetapdan diberi kepercayaan mengurus beberapa projek pertanyaanya berkembang kepada, “Hari ni kita makan di mana ya?”
Semasa menjawat jawatan tertinggi pertanyaanya berubah kepada, “Hari ni kita makan dengan siapa ya?”
Walaubagaimanapun melakukan pelaburan bagi masa depan tidak salah, tetapi bagaimana kekayaan itu diperoleh perlu menjadi fokus utama.

 Jika kita memperoleh kekayaan itu dengan muslihat dan tipu daya harta itu akan habis begitu juga, namun selepas memiliki harta lebih baik kita berkongsi dengan memberi kesempatan kepada orang lain bergembira dengan apa yang kita miliki.

4 Langkah ini mungkin membantu memberikan kekuatan ‘ikhlas’ yang sebenar pada kita :-
1-     1-  Niat untuk meraih redha Allah
2-    2-   Fokus pada keberkatan atau kebaikan disebalik tiap rezeki yang diperoleh
3-      3-  Meletakkan dunia di tangan akhirat di hati
4-    4-   Sentiasa bersama denga para alim ulama dan para guru.

Oleh itu selalulah perbaharui diri kerana ia adalah kunci kejayaan. Mereka yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang sentiasa memperbaharui diri dari segenap aspek hidup mereka seperti jasmani, rohani, fikiran, ilmu pengetahuan, emosi, sosial, intelektual dan lain-lain lagi.

Sunday, 9 October 2011

MERANCANG KEJAYAAN Siri 2


Setiap perancangan untuk berjaya mesti bermula dengan mencari sebab untuk meraih kejayaan tersebut dan jelas akibat atau kesan yang bakal diperolehi. Seperti kata Steven R. Covey - Begin With The End Of mind (Mulakan dengan niat dan harapan terbesar dalam minda). 


Mencari sebab untuk berjaya akan mudah memberi rangsangan jangka masa panjang pada kita, sebagai contoh seorang peniaga nasi lemak mensasarkan pendapatan bulanan Rm 5000 disebabkan oleh :-
1-     Keluar dari zon selesa dan mula mencabar kekuatan diri
2-     Menikmati hidup yang lebih selesa dan bahagia
3-     Simpanan di hari tua di saat tak mampu bekerja lagi

Maka kesan atau akibat yang akan diperolehinya insya Allah seperti yang diharapkan. Sekiranya seorang pemuda yang sedang kecewa mungkin cintanya tak terbalas atau diperlekeh kawan-kawan maka dia memilih untuk bersendirian di rumah dan menghisap rokok yang kononnya dapat menghilangkan tekanan, lama-kelamaan dia mengambil pil khayal untuk rasa lebih tenang, jadi apa kesan dari keptusannya ini ?

1-     Walaupun usia muda tapi banyak penyakit akibat merokok
2-     Dilanda kemurungan, berat badan meningkat, system daya tahan badan lemah
3-     Rosak minda, sering mabuk menyebabkan tiada siapa mahu berkawan dengannya.

Kerana itulah mencari sebab dan menggambarkan akibat akan membantu kita lebih ‘ghairah’ untuk mengecap kejayaan, jadi pastikan setiap perancangan, keputusan dan tindakan yang bakal kita ambil diiringi 2 perkara ini.

Ramai di kalangan orang-orang berjaya mengukuhkan dalam diri masing-masing apa sebab aku mahukannya, dan apa yang bakal aku dapat(kesan) membuatkan mereka tidak hirau pada kutukan, mungkin ejekan malah sindiran orang di sekeliling yang bersikap negatif terhadap mereka,Pada mereka itu hanyalah ‘suara-suara sumbang’ yang perlu di ‘ignore’ kan saja atau di abaikan kerana ia akan merosakkan sebuah Lagu Kejayaan.

Manusia biasa melihat peluang, manusia sederhana menggunakan peluang, manusia cemerlang dan sukses mencipta peluang kerana padanya peluang itu wajib dicipta oleh kita sendiri, orang lain tak mampu menentukan masa depan dan kejayaan kita, mereka hanya mempengaruhi kita sahaja. Maka kitalah yang menentukan kegemilangan masa depan kita!!

Kata orang bijak pandai, Orang yang gagal tak pernah rasa nikmat kejayaan, tetapi Orang yang berjaya berkali-kali merasai nikmatnya kegagalan. Oleh itu, apabila minda sudah terbuka, jiwa telah diperkasa dan jasad sudah bersedia, maka ingatlah ada saja ujian dan kepayahan yang perit bakal kita lalui, inilah dia jalan mujahadah. Namun jika kita menganggap bahawa kita adalah pelajar sepanjang hayat dan dunia ini sebagai sekolahnya, kita akan tenang dan tidak mudah mengalah terhadap segala cabaran yang menanti menduga potensi yang sedia ada pada kita. 

MERANCANG KEJAYAAN Siri 1

Setiap dari  kita memiliki impian untuk berjaya dalam apa jua yang kita lakukan. Sama ada kita sebagai bos di tempat kerja, atau pekerja biasa, atau ibu bapa kepada anak-anak, atau ahli perniagaan kita semua mempunyai matlamat yang tinggi untuk dicapai. Walaubagaimanapun, impian hanyalah 1% dari sebuah kejayaan dan 99% lagi adalah usaha yang consistent (berterusan) seperti kata motivator terkenal Anthony Robbins - constant and never ending improvements (berterusan dan peningkatan tanpa henti). Jadi, apa yang patut anda lakukan di saat ini? 
Mulakan 3 langkah ini :-
1 – Berikan gambaran yang jelas dalam minda anda bentuk kejayaan yang diimpikan,
2 – Nyatakan sebab dan akibat mengapa kita mahukannya
3 – Bayangkan, dengarkan dan rasakan kekuatan anda yang menanti untuk diperhebat dan mula menyusun strategi dari sekarang!!
Berikan gambaran yang jelas dalam minda
Segala tindak tanduk perilaku manusia bermula dari apa yang difikirnya atau apa yang disemai dalam mindanya. Seperti kata mentor saya En Megat, “Anda adalah anda disebabkan daya pemikiran anda, dan anda boleh merombak masa depan anda dengan merombak daya pemikiran anda”, ini bererti masa depan kita bukanlah ditentukan oleh perkara lepas, tetapi apa yang kita fikirkan pada hari ini!
Kuasa minda manusia sangat memberikan impak dalam menentukan perasaan, kelakuan, tindak-tanduk dan sikap. Sebagai contoh, saya masih ingat lagi zaman sekolah menengah dulu, saya adalah di antara pelajar yang kurang berminat dengan subjek matematik, kerana dalam minda saya matematik itu susah dan sukar nak temui jawapan. Jadi apa yang berlaku? Di sinilah bermulanya peranan minda kita iaitu bertindak berdasarkan apa yang kita percaya, yang pertama matematik itu susah dan sukar temui jawapan. Maka dengan dua perkataan ini mampu mengawal seluruh sistem badan saya untuk bertindak berdasarkan apa yang difikir, lebih-lebih lagi apabila nampak cikgu matematik melangkah masuk ke dalam kelas mulalah tubuh badan terasa lemah, tangan terasa berat bagaikan ada batu 20kg di tangan untuk memegang pen dan mata mula meliar mencari jalan kalau-kalau dapat keluar, dan akhirnya saya terus tidak dapat menguasai subjek matemati dengan baik. Nampak kan, betapa besarnya kuasa kepercayaan minda dalam menentukan masa depan seseorang!!!

Saturday, 24 September 2011

"MENGETAHUI PERKARA YANG BETUL TIDAK MEMADAI DAN BERMAKNA JIKA TIDAK MELAKUKAN PERKARA YANG BETUL."


Setiap dari kita dikurniakan akal fikiran bukan sahaja untuk berfikir yang baik malah berfikir untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari. Namun apa yang kita tahu tidak cukup untuk menjadikan kita baik, kita perlu ada sedar untuk memproses maklumat yang kita tahu tadi akan menjadi sikap yang baik. Bermula dengan proses pemikiran membawa kepada tindakan,sikap dan akhirnya masa depan. Sebab itu saya sering katakana pada peserta-peserta kursus bahawa You are what you think!’ anda adalah apa yang anda fikirkan.Sebagai contoh,seorang pelajar menganggap bahawa pelajaran matematik itu susah,payah dan membosankan,maka apa yang berlaku ialah pelajar tersebut akan cepat hilang tumpuan dalam kelas dan dia akan menunjukkan ciri-ciri dan tindakan seperti malas belajar kerana pada fikirannya matematik itu susah dan bosan.Kerana itu manusia bertindak berdasarkan apa yang difikirnya.Oleh itu selepas tahu perlu ada sedar mengiringi bersama. Seperti kata Guru saya En Khaieril Anuar, ‘Betulkan yang Biasa, Biasa-biasakan yang Betul’. Orang yang berfikir untuk berjaya adalah orang yang memilih untuk Berjaya, bukan dipaksa untuk Berjaya,
Pemikiran – Tindakan – Sikap – Masa Depan 





Monday, 8 August 2011

KATA-KATA INSPIRASI SELEPAS MENGALAMI SESUATU KEGAGALAN

  • Manusia yang berjaya akan memperolehi keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain.
  • Kegagalan bermakna bahawa anda belum berjaya lagi.
  • Ingatlah bahawa anda boleh gagal dalam apa sahaja dalam hidup asalkan tidak menjadi seorang yang gagal.
  • Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa.Ia bermakna anda telah mempelajari sesuatu.
  • Wang bukanlah segala-galanya, namun ia pasti menjadi penghubung dengan anak-anak anda.
  • Ramai orang yang masih bergantung kepada kerja-kerja yang bergaji rendah kerana mereka takut gagal jika mencuba kerja lain.
  • Kesilapan adalah bukti bahawa seseorang itu telah mencuba membuat sesuatu perkara atau pekerjaan.
  • Kesilapan mengajar kita tentang apa yang perlu kita pelajari selepas itu.
  • Apa yang anda pelajari selepas kegagalan sahaja yang dikira.Kegagalan itu sendiri tidak dikira.
  • Anda tidak gagal.Anda hanya menemui cara yang tidak berkesan.
  • Kesilapan adalah realiti kehidupan.yang penting adalah tindakbalas terhadap kesilapan itu.
  • Jika anda inginkan sebuah tempat di matahari,bersedialah untuk terbakar.
  • Anda tidak harus berkata KENAPA SAYA? Anda seharusnya bersyukur kerana ANDA telah dipilih.
  • Malah kesilapan pun mungkin menjadi perkara penting bagi menjamin kejayaan yang bernilai.
  • Sekiranya anda mahu mengambil seorang pekerja,pastikan dia pernah gagal sebelumnya.
  • Kegagalan bukan bermakna anda tidak berusaha bersungguh-sungguh.Kegagagalan itu hanya bermakna anda perlu mengambil masa yang lebih lama untuk berjaya.
  • Sekiranya kita bersaing dengan diri kita sendiri dan kita mengalami kegagalan, siapakah yang menang?Fikirkanlah!.
  • "Lulus" dan "Gagal" adalah cara lama mengkategorikan seseeorang.Cara baru ialah "pengetahuan" dan"Kejahilan".
  • Jangan takut dan segan untuk setiap tindakan yang anda lakukan.Seluruh kehidupan adalah satu ujian.
  • Mungkin tiada kegagalan bagi orang yang terus berjuang.
  • Ramai orang mencari tempat yang selamat,tetapi akhirnya tersangkut!
  • Impian yang tidak terlaksana adalah impian yang terpenjara oleh musuh nombor satu-iaitu takut GAGAL!!
  • Tiada siapa yang berha mengecap anda sebagai orang yang gagal,kecuali diri anda sendiri.
  • Sekiranya anda menemui sebuah laluan tanpa halangan, ia mungkin tidak membawa anda ke mana-mana.
  • Kesialpan-kesilapan memberitahu kita tentang apa yang perlu kita pelajari.
  • Apabila anda telah sampai ke penghujung tali......dan tiada lagi simpulan untuk bergantung......lompatlah ke tali yang lain.
  • Kegagalan hanyalah satu peluang untuk anda mencuba lagi untuk berjaya!!.
  • Orang yang kurang berani untuk memulakan sesuatu, sebenarnya telah tewas!!.
  • Kita tidak mungkin dapat mempelajari sesuatu perkara kecuali kita bersedia untuk gagal terlebih dahulu.
  • Cara yang terbaik untuk belajar untuk menjadi pemenang ialah belajar daripada orang-orang yang pernah kalah atau tewas dalam sesuatu pertandingan,perbuatan atau sebagainya.
  • Kegagalan dalam hidup adalah menjadi seorang yang tidak belajar daripada kegagalannya itu.
  • Sekali gagal, tidak bermakna anda telah tewas,.....anda hanya tewas apabila anda telah berputus-asa.
  • Hanya orang yang berani GAGAL DENGAN TERUK mempunyai harapan untuk BERJAYA DENGAN HEBAT sekiranya dia mempelajari sesuatu daripada kegagalannya itu.
  • Kesilapan adalah sebahagian daripada hutang yang perlu dilangsaikan sepanjang hayat.
  • Hadiah paling berharga hanya diberikan kepada orang yang menemui kegagalan tetapi dia tidak pernah berundur atau merungut atau berputus-asa.
  • Setiap orang mempunyai keazaman yang kukuh untuk mencapai matlamat sehingga mampu mengenepikan kegagalan dalam usaha tersebut.
  • Orang yang kalah membayangkan hukuman bagi kegagalan.Orang yang menang membayangkan ganjaran bagi setiap kejayaan.
  • Terseradung bukannya terjatuh.
  • Sekiranya anak-anak diasuh untuk takut mencuba sesuatu yang baru kerana takutkan kegagalan,mereka tidak akan menjadi orang berani kelak.
  • Dalam percubaan-percubaan yang hebat, adalah dianggap cemerlang meskipun gagal.
  • Jika pada awalnya anda tidak berjaya,cubalah cari kembali arah haluan yang pernah anda lemparkan ke dalam tong sampah.
  • Apabila anda kaya,fikirkanlah saat-saat anda pernah miskin dahulu.
  • Kita memerlukan kegelapan untuk melihat bintang.
  • Hidup adalah satu kesilapan yang berterusan di mana kita belajar untuk menjadi sempurna.
  • Salah satu kesilapan besar yang boleh kita lakukan dalam hidup ini adalah sentiasa takut untuk melakukan kesilapan.
  • Jangan berputus-asa kerana biasanya anak kunci terakhirlah yang dapat membuka kumci.
  • Sekiranya anda mengalami kegagalan lebih awal,kegagalan berikutnya kurang terasa pedih.
  • Kesilapan demi kesilapan membawa seseoarang menemui kebenaran hakiki.
  • Perkara paling penting apabila berhadapan dengan keadaan yang kurang menyenangkan adalah dengan memberikan perhatian terhadap apa yang perlu dibuat selepas ini,bukannya mencari-cari-apa silapnya.
  • Kesulitan menyerlahkan sifat sebenar manusia.
  • Pada pendangan saya,sekiranya anda mahukan pelangi, kenalah hujan dahulu.
  • Saya boleh menerima kegagalan kerana setiap orang gagal dalam sesetengah perkara.tetapi saya tidak boleh menerima orang yang tidak berani mencuba.
  • Anda bukannya gagal.Anda hanya tidak tahu beberapa perkara lagi.
  • Satu kesalahan tidak akan menjadi kesilapan sehinggalah anda membetulkannya.
  • Kegagalan tidak menjadikan anda seorang yang gagal sekiranya anda tidak berputus-asa untuk mencuba lagi.
  • Saya tidak membahagikan dunia kepada yang lemah dan gagah,atau yang berjaya dan gagal,juga bukan di antara yang boleh melakukan sesuatu atau sebaliknya.Saya membahagikan dunia kepada mereka yang belajar dan tidak belajar.
  • Perasaan takut untuk melakukan kesilapan menghalang seseorang daripada mengesani potensi diri atau merasakan kehebatan dalam diri sendiri.
  • Setiap kegagalan adalah suatu pengajaran yang mendorong seseorang untuk mencuba pendekatan baru yang tidak pernah dicuba sebelum ini.
  • Jangan katakan kegagalan itu kesilapan.Katakan kegagalan itu adalah pengajaran.
  • Anda tidak akan mengetahu tentang diri sendiri menerusi kejayaan.Anda mengetahuinya menerusi kegagalan dan kesilapan.
  • Janganlah takut untuk mengakui kesilapan.Ia samalah seperti mengatakan bahawa anda lebih bijak pada hari ini berbanding dengan semalam.
  • Kegagalan bukan bermakna anda seorang yang bodoh mencuba.Ia bermakna anda mempunyai keberanian untuk melihat apa yang tidak boleh dilakukan.